KDM Malaysia terus dapat sambutan

0

Ketua Belia KDM malaysia, Henry Soimpon menyampaikan sumbangan beras kepada Sister Hilary Laudi yang mewakili Rumah Anak Yatim Bondulu, St. David Toboh Tambunan.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia yang baru berdaftar pada September lalu terus mendapat sambutan masyarakat KDM negeri ini.

Naib Presiden1, Datuk Peter Anthony yang juga bendahari dan Pengarah Operasi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, permohonan menjadi ahli semakin bertambah sejak ia diumumkan telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Terbaru, pertubuhan itu telah menerima 2,000 borang permohonan menjadi ahli di daerah Papar menjadikan pertubuhan itu kini mempunyai lebih 20,000 ahli.

“Kemasukan keahlian yang begitu ramai menandakan KDM Malaysia diterima masyarakat negeri ini,” kata Peter.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program siri jelajah Karnival Sukan KDM Malaysia di Papar tiga hari lalu.

Karnival tersebut dihadiri kira-kira 1,500 orang.

Mengenai ulasan dan kritikan beberapa pihak mengenai kewujudan pertubuhan itu, Peter berkata semua orang bebas bersuara dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi mereka.

“Niat kami ikhlas mahu membantu terutama masyarakat KDM di luar bandar bagi memastikan mereka tidak tercicir dari arus pembangunan termasuk dalam soal pendidikan.

“Ini adalah antara objektif utama kami. Kami telahpun melakukannya dan akan terus melakukannya,” kata Peter merujuk kepada beberapa program yang telah dijalankan pertubuhan itu sejak tahun lalu.

Menurutnya, KDM Malaysia juga mengutamakan perpaduan, permuafakatan dan kerjasama semua pihak untuk mencapai objektifnya membantu masyarakat KDM.

Program utama yang sedang dijalankan pertubuhan itu adalah Siri Jelajah Karnival Sukan KDM Malaysia.

Antara pengisian program itu adalah penganjuran pertandingan bola sepak dan membantu golongan yang memerlukan seperti warga emas, pelajar miskin dan anak yatim.

Sempena dengan siri jelajah di Papar yang belangsung di padang Pekan Papar pada 29 hingga 30 Oktober, KDM Malaysia menyampaikan sumbangan berupa beras dan wang tunai kepada 100 warga emas.

Siri jelajah tersebut diadakan serentak diadakan di Tambunan. Sebelum ini ia telah diadakan di Ranau dan Tenom.

Di Tambunan, KDM Malaysia telah menyampaikan sumbangan 50 beg beras kepada Rumah Anak Yatim Bondulu, St. David Toboh Tambunan.

Sempena dengan siri jelajah tersebut katanya, KDM Malaysia juga membantu kerajaan menangkis dakyah pembangkang.

“KDM Malaysia mahu masyarakat luar bandar tahu bahawa kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dengan keadaan masyarakat luar bandar.

“Kami dapat melihat sendiri menerusi siri jelajah bahawa masyarakat luar bandar negeri ini menerima pembaharuan dan pembangunan dari kerajaan sekarang,” katanya.

Peter berkata, Siri Jelajah KDM Malaysia tersebut akan diteruskan di beberapa daerah lagi termasuk Tamparuli pada 5 hingga 6 November dan Keningau pada 11 hingga 13 November.