PENYERAHAN KOMPLEKS BERSEPADU KPKK DI SABAH 19 DISEMBER INI

0

Kamaruddin bersalaman dengan Pengarah Penerangan Sabah, Hajai Almain Ajirul (kiri) disaksikan oleh Timbalan Pengarah RTM Sabah, Abd Razak Hamid (tengah).

KOTA KINABALU: Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan diserahkan kepada KPKK pada 19 Disember ini.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Dato’ Seri Kamaruddin Siaraf berkata, beberapa Jabatan di bawah Kementerian seperti Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia Sabah, Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas dan Bernama akan berpindah ke kompleks tersebut.

“Perpindahan jabatan-jabatan ke kompleks ini akan bermula secepat mungkin sebaik sahaja kerja-kerja talian internet dan komputer selesai.

“Walaupun peruntukan kompleks ini ialah RM88 juta, tetapi kita dapat membuat penjimatan antara RM3 hingga RM4 juta kerana kos keseluruhan kompleks ini bernilai lebih kurang RM80 juta,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Kompleks Bersepadu kementerian berkenaan di Kepayan dekat sini, pagi kelmarin.

Menurut beliau, KPKK kini dalam perancangan membina sebuah auditorium dengan kapasiti seribu orang di kawasan kompleks tersebut.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Taman Budaya Sabah, dekat sini bagi memantau perkembangan projek serta menyelesaikan isu yang timbul antara Institut Pengajian Gaya dengan kontraktor kementerian tersebut.

“Bangunan bernilai RM30 juta itu kini hampir siap dan dijangka akan mula beroperasi pada hujung tahun ini, katanya.

Bangunan berkonsepkan kebudayaan suku kaum Murut itu turut dilengkapi sebuah auditorium yang boleh memuatkan seramai 800 orang dan merupakan auditorium terbesar di Sabah.

Kedua-dua projek ini, kata beliau, akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.