Hamil luar nikah serius

3

Fatimah

Statistik meningkat, kebanyakan ‘keterlanjuran’ berlaku musim cuti sekolah 

KUCHING: Peningkatan ketara jumlah penghuni Taman Seri Puteri, di sini pada tahun ini berbanding 2010 mencerminkan kes hamil luar nikah di kalangan remaja di Sarawak semakin membimbangkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah memberitahu, institusi yang bertujuan melindungi dan menjaga gadis hamil seawal umur 14 tahun hingga 18 tahun itu mencatatkan jumlah penghuni sebanyak 20 orang setakat ini berbanding sembilan orang pada 2010.

“Waktu saya mula melawat dulu kita ada empat orang. Dan apa yang kita ada dalam rekod ini hanya ‘tip of an iceberg,’ nampak sedikit tetapi bahagian yang tidak kelihatan itu sebenarnya lebih banyak.

“Kalau statistik sudah menyaksikan peningkatan, apatah lagi jumlah kes yang tidak dilaporkan kepada agensi-agensi kerajaan dan di luar pengetahuan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bengkel Latihan Pelatih Hubungan Sihat Dalam Kalangan Remaja, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Sosial Abdul Karim Rahman Hamzah, Men-teri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Noriah Ahmad.

Fatimah memberitahu, kadar kelahiran bayi oleh remaja di negeri ini turut menyaksikan peningkatan iaitu daripada 7.16 peratus pada 2009 kepada 8.8 peratus pada 2010.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar taklimat mengenai hubungan sihat di kalangan remaja diadakan sebelum cuti persekolahan.

Ini kerana ‘keterlanjuran’ itu apabila diselidik, lazimnya berlaku pada musim cuti sekolah.

“Dalam cuti sekolah, pelajar banyak mempunyai masa terluang untuk bergaul bebas dan sekiranya tidak diawasi akan terlanjur ke kancah pergaulan bebas yang memungkinkan risiko kehamilan luar nikah,” katanya.

Beliau juga menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meneliti isu itu dan mengambil kira keperluan memberi pendidikan terhadap ibu bapa bagaimana untuk menghadapi perkara tersebut.

“Saya sentiasa menyatakan bahawa PIBG bukan hanya perlu memfokuskan pengum-pulan dana tetapi juga me-ningkatkan kemahiran ibu bapa dalam menghadapi zaman sedang berubah ini.

“Kalau bergantung dengan inisiatif kerajaan sahaja, ia tidak cukup tetapi kalau semua memainkan peranan masing-masing, saya percaya kita mampu mengurangkan gejala ini,” katanya.

Ditanya sama ada cadangan membekalkan kondom akan dikuatkuasakan di sini pada masa depan, beliau berkata:

“Belum terfikir ke arah itu. Apa yang kita mahu perkasakan sekarang adalah dari segi pendidikan, sebagai langkah pencegahan, selain intervensi yang melibatkan proses perundangan serta program pemulihan.”

Fatimah turut menggalak-kan gadis-gadis tersebut me-nyambung persekolahan se-perti biasa walaupun di sekolah lain.

“Kita (kerajaan) berharap, selesainya tempoh mereka di tempat perlindungan, me-reka boleh memulakan kehi-dupan baru kerana bagi saya, anak-anak ini perlu diberi peluang kedua, mungkin mereka dapat menjadi insan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim memberitahu kerajaan akan berusaha mengatur program untuk membangunkan anak-anak menjadi orang yang berdisiplin.

“Kalau mereka mempu-nyai disiplin yang tinggi, mereka tahu keburukan aktiviti seperti itu.

“Dengan asuhan yang baik, saya rasa perkara ini kalau tidak akan berlaku pun, dapat dikurangkan,” katanya.