Remaja miliki pistol tiruan direman

0

MIRI: Seorang remaja lelaki yang ditangkap kerana disyaki memiliki sepucuk pistol tiruan diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Fazira Azlina Mohd Rofli setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Huzaimi Md Said.

Dalam permohonannya, Huzaimi memberitahu pada 31 Oktober lalu, seorang pemilik salun telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 7 malam hari sama, beliau telah diberitahu oleh seorang pekerjanya bahawa seorang lelaki yang berada di dalam salun mereka ada memiliki sepucuk pistol yang disisipkan di bahagian belakangnya.

Serentak itu, adik pengadu lalu menghubungi pihak polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 7.10 malam hari sama, sepasukan polis yang bergegas ke salun berkenaan telah menahan remaja terbabit dan merampas sepucuk pistol berwarna perak krom dipercayai tiruan yang disorokkannya di bawah permaidani di bilik salun berkenaan.

Dalam permohonan lanjutnya, Huzaimi memberitahu reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 17 tahun dari Long Semiang, Ulu Baram amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan berhemat suspek dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 4 November ini untuk sebutan kes.