BN dijangka hadapi cabaran besar di enam kerusi Parlimen

1

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri dijangka akan berhadapan dengan cabaran besar di enam kerusi Parlimen dalam menumpaskan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom menjangkakan persaingan sengit itu akan berlaku di kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

“Selain (kerusi itu), kami tidak melihat masalah lain. Jentera BN masih bersedia setelah pilihan raya negeri dan kami juga bersedia untuk mempertahankan kerusi-kerusi kami khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Rundi yang juga setiausaha agung PBB turut melahirkan keyakinan bahawa parti itu mampu mencapai kemenangan 100 peratus.

Beliau turut memberitahu, laporan yang mengandungi strategi dan calon-calon yang mungkin akan bertanding serta isu mengenai kerusi bandar sudah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selasa lepas, semua parti komponen BN negeri mengemukakan laporan mengenai persediaan menghadapi PRU akan datang.

Empat parti komponen BN adalah PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sara-wak (SUPP).

Sementara itu, Presiden PRS Tan Sri James Masing memberitahu, parti itu mungkin akan menyaksikan pertukaran kecil dalam barisan calon.

“Semua parti komponen diminta membuat penilaian mereka.

“Untuk PRS, kami memberitahu DPM bahawa kami akan menang di enam kerusi Parlimen kami dan mungkin akan menampilkan perubahan kecil pada barisan (calon),” katanya.

Masing, yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, Muhyiddin juga meyakinkan mereka bahawa setiap parti berhak untuk mencadangkan calon mampu menang.

Ditanya mengenai pertukaran itu, Masing berkata masih terlalu awal untuk mengulas dan mendedahkan nama.

Bagaimanapun, katanya semua calon PRS mempunyai peluang tinggi untuk menang.

Timbalan Setiausaha Agung SPDP Paul Igai memberitahu, semua parti komponen BN di seluruh negara menyampaikan keyakinan dalam mempertahankan kerusi BN.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut hasil mesyuarat itu tetapi apa yang saya boleh katakan, jentera-jentera BN bersedia menghadapi pilihan raya Parlimen seterusnya,” katanya.