Donovan yakin Beckham kekal di Galaxy

0

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS): Para pemain kelab Los Angeles Galaxy (LA Galaxy) menjangkakan David Beckham akan terus kekal di kelab itu pada musim depan walaupun terdapat laporan mengaitkan beliau dengan kepulangan ke Eropah, menurut kapten kelab, Landon Donovan pada Selasa lepas.

Kontrak lima tahun Beckham bersama Galaxy akan berakhir pada musim semasa Liga Bola Sepak Utama (MLS) dan ada cadangan di mana kelab gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint Germain (PSG) dan beberapa kelab dari England berminat untuk mendapatkan bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu.

Bagaimanapun, pemilik Galaxy ada membayangkan bahawa perjanjian baru mungkin ditawarkan buat Beckham, yang masih belum mendedahkan sebarang keputusan dan enggan membincangkan masa depannya sehingga berakhirnya musim MLS.

Tetapi dalam satu temu bual dengan stesen radio AS, AM 570, Donovan berkata skuad Galaxy menjangkakan Beckham akan terus bermain untuk Galaxy pada musim depan.

“Kami semua membayangkan beliau akan kembali. Saya tidak tahu ada apa-apa diperkatakan atau jika ada sesuatu yang rasmi telah dikeluarkan tetapi saya fikir beliau suka di sini, keluarganya juga suka di sini dan beliau dianggap pemain terbaik kami pada musim ini.

“Beliau kelihatan tetap bagus ketika ini seperti lima tahun yang lalu ketika kali pertama datang ke sini, jadi saya fikir kami masih membayangkan beliau akan kembali dan jika ada sesuatu yang berubah, kami boleh menyesuaikan keadaan,” tambah beliau.

Galaxy melayani kunjungan Red Bulls hari ini untuk perlawanan kedua peringkat separuh akhir Western Conference. LA mendahului 1-0 dari perlawanan pertama.

Perlawanan berakhir dengan tegang dan berlaku beberapa pergaduhan dalam padang selepas Donovan melabelkan New York sebagai pasukan paling tidak bersemangat kesukanan yang pernah beliau hadapi.

Beliau berkata bahawa beliau mahu menjelaskan pandangannya selepas satu insiden di mana bola dibaling oleh pemain pertahanan Red Bull, Rafa Marquez terkena kakinya. — Reuters