Guru didapati bersalah atas empat tuduhan cabul murid

1

SIBU: Seorang guru sebuah sekolah rendah di Dalat didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat tuduhan menyerang murid sekolahnya dengan niat hendak mencabul kehormatan mereka.

Guru terbabit yang berusia 36 tahun, diperintah untuk dihadapkan semula ke mahkamah pada 24 November ini bagi mendengar hukuman yang dijatuhkan.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, guru terbabit didakwa menggunakan kekerasan dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang murid berusia 12 tahun di asrama sekolah pada 30 Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi murid berusia 10 tahun sekitar bulan Jun 2005, kira-kira jam 2.30 petang.

Bagi pertuduhan keempat, guru terbabit didakwa melakukan kesalahan sama sekitar bulan Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi terhadap mangsa yang sama.

Dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa yang berusia 10 tahun pada 30 Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi.

Sementara menunggu sebutan semula kes, tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin.

Sementara di mahkamah yang sama, seorang lelaki berusia 57 tahun mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.

Mahkamah yang mendengar pengakuan bersalah teruduh yang dikenali sebagai Seleong Garina, menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara.

Seleong terdahulu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Durin pada 31 Julai lepas, kira-kira jam 7.20 malam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a), Akta Senjata Api 1960, yang memperuntukkan hukuman tidak kurang tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dibenarkan bebas selepas membayar denda yang dikenakan.