Tutup segera laluan haram

1

Susulan tragedi kereta api penumpang rempuh lori tangki minyak

KOTA KINABALU: Kejadian kemalangan kereta api yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Isnin boleh dijadikan pembuka mata terhadap risiko lintasan kereta api dan jalan raya di laluan Tanjung Aru ke Putatan adalah tinggi.

Ketua Pemuda Umno Putatan, Ir. Shahelmey Yahya berkata kejadian itu juga membuktikan betapa kesedaran di kalangan pengguna jalan raya dan pengangkutan awam di negeri ini tentang keselamatan masih belum berada di tahap terbaik.

“Sehubungan itu kita ingin menyarankan agar lintasan-lintasan kereta api yang tidak dibenarkan untuk dilalui supaya ditutup secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ini penting bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

Dalam kejadian pada petang Isnin itu, hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran LTAKK.

Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang teruk apabila jalan hadapan LTAKK menghala Putatan terpaksa ditutup pada pukul 6 petang kerana api yang marak.

Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya 12 orang penumpang dilaporkan cedera.

Shahelmey juga turut menyarankan agar kempen berterusan dijalankan bagi menyedarkan pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap keselamatan semasa di jalan raya.

“Kempen kesedaraan kepada pengguna jalan raya harus dijalankan dengan lebih kerap sehingga terbentuk budaya pentingkan keselamatan itu tercapai,” tambahnya.

Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) berharap perkhidmatan kereta api yang tergendala selepas tragedi baru-baru ini dapat beroperasi seperti biasa secepat mungkin terutama menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini.

Pengurus Besar JKNS, Mohd Zain Mohd Said berkata landasan di sepanjang Jalan Kepayan mengalami sedikit kerosakan berikutan kemalangan yang berlaku antara kereta api milik JKNS dengan sebuah lori tangki yang membawa minyak di Kilometer 5 jalan Kota Kinabalu-Putatan Isnin lepas.

“Landasan besi di sepanjang Jalan Kepayan bengkok sedikit kerana insiden itu (kemalangan kereta api dan lori tangki minyak), tetapi pihak kami kini sedang berusaha keras untuk membaikpulih landasan berkenaan sebelum Sabtu ini.

“Ramai orang menggunakan perkhidmatan kami (kereta api) untuk pulang ke kampung setiap kali tibanya musim perayaan termasuklah Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, walaupun perkhidmatan kereta api akan diteruskan namun jumlah perjalanan terpaksa dikurangkan kerana JKNS hanya mempunyai sebuah kereta api diesel yang baru.

“Kami boleh menggunakan kereta api yang lama jika perlu tetapi ianya mungkin akan membuatkan penumpang tidak berasa selesa kerana ia bergerak agak perlahan,” jelasnya.