Ubat penahan sakit berisiko

0

DR ABDUL RAZAK

Ia mengandungi bahan kimia dipanggil ‘acetaminophene’

KUCHING: Ubat penahan sakit atau paracetamol yang dipercayai mengandungi sejenis bahan kimia yang dipanggil ‘acetaminophene’ dipercayai boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Penggunaan ubat penahan sakit itu dipercayai digunakan di seluruh negara sebagai ubat ‘mesti’ di hospital kerajaan dan klinik swasta untuk menyembuhkan pesakit.

Kenyataan itu disahkan oleh Pakar Nutrisi sebuah klinik persendirian Dr Abdul Razak Ibrahim ketika dihubungi di sini semalam.

“Ramai yang tidak tahu bahawa penggunaan paracetamol atau ubat penahan sakit adalah sebagai alternatif bagi mengurangkan kesakitan akan tetapi dos berlebihan boleh menyebabkan kemusnahan pada sistem organ dalaman manusia,” katanya semalam.

Tambahnya, ‘acetaminophene’ juga penyebab kepada kerosakan pada tisu serta otot jantung, buah pinggang dan usus turut dipercayai penyebab kepada penggumpalan darah ke jantung.

Beliau turut menyarankan agar penelitian dan kajian dijalankan terhadap penjualan ubat penahan sakit di kaunter-kaunter atau kedai runcit biasa yang dianggap berbahaya kepada kesihatan pengguna jika digunakan secara berlebihan.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zulkifli Jantan yang menjawab kepada persoalan terbabit berkata, pihaknya percaya paracetamol meninggalkan risiko minimum kepada pengguna.

“Ini kerana ia hanya boleh menyebabkan kemudaratan sekiranya pengguna mengambil ubat penahan sakit dalam dos yang berlebihan. Jadi harus ingat, pengambilan ubat harus mengikut dos yang ditetapkan,” jelasnya.

Ditanya jika ubat penahan sakit merupakan penyumbang kepada penyakit epidemik dan berkemungkinan menyebabkan kadar kematian meningkat beliau menjawab: “Saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana belum terdapat kajian dijalankan lagi mengenainya.”

Beliau juga tidak dapat menjawab kesahihan kewujudan bahan kimia beracun ‘acetaminophene’ yang dipercayai terkandung di dalam ubat penahan sakit itu sehingga kajian pihak farmasi membuktikan bahawa terdapat bahan terbabit.