Peluang pekerjaan bertambah: KM

0

CENDERA KENANGAN...kelihatan Raymond (Kanan) menerima cendera kenangan daripada presiden SOGCA, Datuk Iskandar Malik ketika di majlis itu.

KOTA KINABALU: Perkembangan industri minyak dan gas membolehkan Sabah menerima manfaat yang pelbagai kerana bukan sahaja sektor ini mampu menarik lebih ramai pelabur tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah di samping menyumbang kepada kekayaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman berkata potensi Malaysia sebagai kawasan cari gali gas dan minyak petroleum khususnya di Sabah dipertingkatkan lagi dengan penemuan kawasan cari gali terbaru di Kikeh, Gumusut-Kakap, Ubah Crest, Malikai, Jangas, Pisangan dan Kamunsu.

Katanya, pada ketika ini kawasan-kawasan terbabit sedang dibangunkan dan hanya boleh mengeluarkan hasil selepas beberapa tahun sehingga tahun 2015.

“Penemuan blok yang agak besar di luar persisiran pantai di negeri ini diikuti dengan kawasan kelompokan gas di Kababangan, penyiapan projek Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dan projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline akan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah negeri peneraju utama minyak dan gas di negara ini dan kemungkinan di wilayah ini.

“Pembangunan yang diusahakan ini akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka,” katanya ketika merasmikan Forum Industri Minyak dan Gas di Sabah (SOGCA) di sini kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Menurut Musa, adalah satu keperluan untuk mempunyai tenaga kerja yang mahir dalam industri ini dengan mempunyai satu pusat latihan.

Katanya, Pusat Latihan Petroleum Kimanis yang diwujudkan oleh Petronas merupakan satu contoh pusat yang memberi latihan khas untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepada pekerja tempatan.

Pada ketika ini, katanya, terdapat ramai kontraktor dan pembekal yang ingin menyertai dalam pembangunan industri ini menerusi keperluan dalam bidang yang berkaitan dengan perkhidmatan dan produk.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas sudah memberi tindakbalas positif terhadap seruan SOGCA yang menyeru agar kontraktor tempatan diberi peluang untuk mendapatkan projek Petronas di Sabah di masa hadapan.

“Antara yang sudah ditunaikan adalah Petronas sudah menawarkan satu kontrak bernilai RM600 juta sebuah syarikat di sini menerusi projek Loji Amonia-Urea.

“Selain itu, satu pelaburan projek hiliran yang bernilai jutaan ringgit akan memberikan kesan yang besar kepada negeri ini di samping menyediakan peluang pekerjaan pelbagai kepada masyarakat tempatan,” tambahnya.

Musa berkata, tujuan utama adalah untuk mengoptimakan nilai minyak dan gas yang ditemui di luar persisiran pantai Sabah menerusi satu objektif jangka panjang bagi memastikan perkembangan dan kemampanan yang akan memberikan faedah kepada pelabur dan negeri Sabah secara keseluruhannya.

Beliau berharap forum yang diadakan itu dapat mencipta peluang kerjasama di antara agensi ysang hadir di samping dapat menjalinkan rangkaian serta rakan kongsi.

Tambahnya, Sabah akan menjadi sebuah negeri yang akan membantu negara ini untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dengan penemuan blok minyak baru di luar persisiran pantai negeri ini, Musa yakin Sabah sudah bersedia memainkan peranan utama dalam pembangunan pesat dalam sektor minyak dan gas pada tahun akan datang.