Semak dan kemaskini daftar e-Kasih

0

SIMPATI…Jamawi ketika mengetuai program Ziarah Pemuda bagi melawat seorang warga emas yang uzur Salim Ahul di kampong Merais Tenom

TENOM: Cadangan Jamawi untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Pergerakan Pemuda Umno Tenom meminta kerajaan khususnya jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat agar mengemaskini data e-Kasih bagi memastikan segala bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak menerima menepati sasaran.

Ketuanya, Jamawi Jaafar berkata disebabkan sistem data e-Kasih ini tidak dikemaskinikan ada golongan yang sewajarnya layak menerima bantuan gagal mendapatkan bantuan.

Katanya, masalah itu bukan sahaja berlaku di daerah Tenom malah beliau yakin keciciran bagi mereka yang layak menerima bantuan melalui sistem e-Kasih berlaku di lain-lain daerah di negeri ini.

Mengambil contoh bantuan rumah di bawah skim Bantuan Perumahan Rakyat (BPR), di sebahagian kampung puluhan rakyat mendapat bantuan walaupun sebahagiannya memiliki rumah yang besar, manakala di sebahagian kampung walau hanya sebuah rumah mereka gagal menerima bantuan di bawah skim berkenaan.

“Perkara ini berlaku disebabkan selain daftar e-Kasih gagal dikemaskinikan, ianya memerlukan komitmen serta ketulusan setiap pemimpin di peringkat akar umbi agar menyalurkan maklumat yang tepat kepada pihak yang berkenaan bagi mempastikan golongan yang benar-benar layak menerima bantuan melalui sistem e-Kasih ini tidak tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Ziarah Pergerakan Pemuda Umno Tenom kepada seorang warga emas, Salim Ahul, yang sakit tua di Kampung Merais pagi kelmarin.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berkata, pemimpin di peringkat akar umbi seperti pengerusi JKKK, ketua kampung serta pemimpin masyarakat tempatan yang lain perlu peka terhadap masalah atau isu penduduk setempat dan mengemukakanya kepada pihak yang berkenaan.

“Di peringkat pelaksanaan pula pegawai yang terlibat perlu turun padang bagi memantau masalah ini dengan tidak hanya berpandukan kepada laporan bertulis yang dibuat oleh pemimpin di peringkat kampung agar ada ketelusan dari segi penyampaian bantuan melalui sistem e-Kasih ini,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom sering melakukan program ziarah ke kampung-kampung di bahagian pedalaman bagi memantau perkara ini bagi memastikan tidak ada rakyat yang layak menerima bantuan terpinggir.

“Pergerakan Pemuda melihat isu ini perlu diambil tindakan yang serius oleh semua pihak. Jika tidak ianya akan memberikan impak kepada kerajaan yang akhirnya dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.