Isu penduduk terjejas Empangan Bengoh terus tarik perhatian

5

MENUNGGU BEROPERASI: Pemandangan udara Empangan Bengoh yang kini sudah siap sepenuhnya namun belum dapat beroperasi kerana penduduk terjejas masih belum dipindahkan disebabkan pembinaan Skim Penempatan Semula yang belum siap.

ISU pemindahan penduduk empat kampung – Kampung Semban, Kampung Rejoi, Kampung Taba Sait dan Kampung Pain Bojong – yang terjejas disebabkan pembinaan Empangan Bengoh terus menarik perhatian bukan sahaja daripada ahli politik tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum.

NILAI TARIKAN PELANCONG: Tiga orang wanita dari Kampung Semban mengenakan pakaian tradisional mereka.

Sebelum ini sering dilaporkan mengenai keengganan penduduk untuk berpindah ekoran beberapa sebab seperti pampasan belum dibayar dan tuntutan untuk mendapatkan rumah percuma di Skim Penempatan Semula.

Kemudiannya, laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan lokasi Skim Penempatan Semula yang terletak

di Kampung Semadang adalah tidak sesuai untuk menempatkan penduduk dan seorang wakil rakyat pakatan pembangkang turut menggesa supaya kerja bancian dan penyelidikan dijalankan bagi menilai perpindahan penduduk ke penempatan baru.

Bukan itu sahaja, usaha pemindahan penduduk yang penuh kontroversi itu turut dicemari oleh kerja-kerja pembinaan Skim Penempatan Semula yang didakwa lambat meskipun pembinaan empangan bernilai RM310 juta itu yang menjejaskan 359 keluarga sudah lama siap dan menunggu untuk penakungan air bagi memulakan operasi membekalkan air kepada penduduk di seluruh bahagian Kuching.

Baru-baru ini, individu yang dikenali sebagai Jaochim Leong, pengarah filem bebas yang menerbitkan filem pendek – Ulu Bengoh Darum Piin – berharap untuk menyediakan penjana hidro mini kepada penduduk terjejas di penempatan baru yang dipilih mereka.

Leong, 25, berkata, kos untuk menyediakan penjana hidro mini itu adalah antara RM50,000 hingga RM100,000 dan beliau kini sedang giat menjalankan kutipan sumbangan daripada orang ramai bagi menjayakan projek tersebut melalui penjualan DVD filemnya yang berharga RM12 seunit.

Temu bual dengan calon yang bertanding merebut kerusi DUN Bengoh pada pilihan raya

negeri lepas namun tewas di tangan Dr Jerip Susil, Willie Mongin berkata, inisiatif yang dibuat Jaochim itu adalah baik kerana ia bagi membantu penduduk namun menyifatkan ia hanyalah sia-sia sekiranya keputusan tetap untuk memindahkan penduduk.

“Jika polisi dan dasar sesetengah pihak pada hari ini terus dengan hasrat untuk mendesak penduduk Ulu Bengoh ini berpindah dan jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka, maka sudah tentu usaha Jaochim terjejas dan menjadi kurang bermakna kerana suka atau tidak penduduk yang terjejas ini terpaksa berpindah ke kawasan penempatan baru,” katanya.

Dalam pada itu, Willie turut menyatakan kekecewaannya terhadap cara pengendalian pemindahan penduduk terjejas, yang mana

sewajarnya perbincangan

proses tersebut melibatkan setiap ketua keluarga dari kampung-kampung terlibat, ketua-ketua kampung, wakil rakyat kawasan tersebut dan wakil NGO.

Beliau berkata, dengan adanya platform sedemikian, penerangan akan dapat diberikan kepada penduduk secara langsung, hasrat tuntutan mereka dapat dikumpulkan dan segala perundingan serta soal jawab dapat dibincang secara kolektif.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan proses pelaksanaan projek Empangan Bengoh yang pembinaannya sudah siap tetapi penempatan baru belum siap dan mendakwa itu menunjukkan kegagalan perancangan yang ketara ibarat ‘sudah terberak, jamban dibina’.

“Kenapa pampasan penuh belum dibuat tetapi pihak terbabit boleh terus membina empangan sehingga siap dan kenapa senarai pampasan tidak dinyatakan secara bertulis kepada setiap penduduk yang terjejas?

“Sudah tentu mereka berasa dalam dilema dan tertekan acap kali hanya mendengar melalui media dan sumber tidak rasmi,” kata Willie sambil menambah agar Jawatankuasa Khas yang baru ditubuhkan untuk membuat tinjauan baru untuk mengenal pasti sama ada penduduk benar-benar enggan berpindah atau enggan berpindah kerana tuntutan mereka masih belum ditunaikan lagi seperti diberi rumah percuma serta bayaran pampasan.

Dalam pada itu, Willie turut menjelaskan pandangannya itu bukannya untuk membantah projek Empangan Bengoh tetapi beliau amat tidak bersetuju dengan cara pelaksanaan dan pampasan yang diberi.

Mengulas lanjut, beliau berkata telah difahamkan bahawa tapak perkampungan lama itu akan digunakan sebagai pusat pelancongan dan jika benar, adalah sewajarnya penduduk tidak perlu dipindahkan kerana itu juga akan dapat menjimatkan kos kerajaan untuk membayar pampasan dan menyediakan penempatan semula.

“Kalau boleh digunakan sebagai pusat pelancongan, kenapa pula penduduk ini perlu dipindahkan… kenapa tidak diserapkan mereka untuk terlibat sama dalam industri pelancongan itu sendiri tanpa perlu berpindah?

“Dari segi risiko juga, kampung-kampung ini yang berada di hulu empangan amat kurang risiko berbanding Kampung Bengoh, Kampung Danu dan Kampung Semadang yang terletak di hilir empangan,” katanya.

Namun demikian, Willie juga menyatakan pendapatnya bahawa ada baiknya penduduk-penduduk tersebut mahu berpindah sekiranya mendapat pampasan yang munasabah.

“Sebab, kalau mereka berpindah kemudahan seperti air bersih, jalan raya, bekalan elektrik dan prasarana lain akan dapat mereka kecapi,” ujarnya.

MENANTI DITENGGELAMI: Gambar Kampung Rejoi, yang penduduknya turut terjejas akibat pembinaan Empangan Bengoh.