Jumpa mayat jiran berulat

0

BALUT...beberapa anggota polis membalut mayat mangsa dengan plastik hitam untuk dibawa ke HQE bagi proses bedah siasat.

Hasrat hantar juadah Aidiladha tidak kesampaian

KOTA KINABALU:  Niat murni dua lelaki yang ingin menghantar makanan sempena Hari Raya Korban kepada jiran mereka kelmarin tidak kesampaian apabila mendapati jiran mereka itu telah mati dalam keadaan sudah berulat dan berbau busuk di dalam biliknya di kampung Bandulan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Mappan Yompa Andi Unga, 69, yang bekerja sebagai penjual ubat perangsang seks di sekitar bandaraya ditemui meninggal dunia dalam keadaan separuh bogel di biliknya di kampung berkenaan.

Menurut Wati Khadir, 38, sebelum kejadian, dia bersama seorang lagi jirannya telah pergi ke rumah mangsa untuk mengunjunginya sambil membawa makanan tradisional Bugis (buras) sempena Hari Raya Korban.

“Sebaik sahaja kami naik ke atas rumah mangsa, terhidu bau busuk, menyebabkan kami rasa curiga mungkin berlaku sesuatu ke atas mangsa.

“Ketika itu, kami cuba untuk memanggilnya, namun tiada jawapan, lalu cuba untuk mengetuk pintu, juga tiada sebarang respon, menyebabkan kami bertindak menolak pintu berkenaan,” katanya ketika ditemui ditempat kejadian kelmarin.

Katanya, sebaik berjaya memasuki rumah terbabit, bau busuk semakin kuat dan mereka kemudiannya mencari mangsa.

“Saya amat terkejut apabila melihat mayat mangsa dalam keadaan separuh bogel dengan badannya yang sudah berbau busuk di dalam biliknya.

“Saya terus bertindak keluar dari rumah itu dan memaklumkan kepada jiran untuk membuat laporan polis, sebelum bertindak menghubungi ahli keluarga mangsa,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia menemui mangsa pada Jumaat lalu, ketika mangsa pergi menuju ke kedai runcit bersebelahan rumahnya untuk memberi makanan.

“Mangsa tinggal sendiri sejak beberapa tahun, dan kami sering mengunjungi rumah untuk membawakan makanan.

“Namun hari ini (kelmarin) amat menyedihkan apabila hanya menemui mangsa dalam keadaan yang mengerikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superitendan Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Selepas menerima laporan daripada jiran mangsa, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat mayat mangsa sudah meninggal dunia dipercayai sejak tiga hingga lima hari lalu berdasarkan penemuan mayat mangsa yang sudah berbau busuk di atas tilam di bilik rumahnya,” katanya.

Peter berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizebath (HQE) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kematian.