Lapan jenis sayur, ikan naik harga

2

KUCHING: Sebanyak lapan jenis sayur dan lapan jenis ikan serta makanan laut mengalami kenaikan harga di antara RM1 dan RM4 semalam.

Pengesahan itu dibuat oleh Peng-arah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke-penggunaan (KPDNKK), Wan Ahmad Uzir Wan Ismail ketika dihubungi semalam.

“Kenaikan melibatkan sayur- sayuran jenis cili merah kulai, cili merah minyak, kacang bendi, kacang buncis, kailan, kacang panjang, timun dan tomato.

“Sementara itu, ikan bawal hitam, ikan bawal putih, cencaru, kembung besar, kembung kecil, ikan pari, sotong dan tenggiri turut mengalami kenaikan harga,” katanya.

Beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku berpunca daripada musim landas yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

Tambahnya lagi, harga cili me-rupakan barang termahal di pasaran setakat ini dengan kenaikan RM4 disebabkan cili cepat buruk dan menyebabkan petani sukar untuk menjualnya terutama pada musim hujan.

Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna agar membeli dan me-milih ikan dan sayur yang tidak mengalami kenaikan harga.

Wan Uzir turut menolak kemungkinan harga beberapa ikan dan sayur naik disebabkan ia merupakan bahan import.

Pada masa sama, seorang penjaja sayur-sayuran di Pusat Penjaja Stutong yang enggan dikenali memberitahu pemberita, cili merah besar dijual pada harga RM10 berbanding RM8 sekilogram sebelum ini, cili padi RM25 sekilogram kekal, cili Thailand RM20 sekilogram dengan harga tidak menentu.

“Kobis China RM3 dan kobis manis RM4 sekilogram. Tetapi sayur tempatan seperti cangkuk manis, kangkung, sawi, kacang panjang semuanya masih pada harga biasa,” katanya.

Seorang lagi penjaja sayur-sayuran Pusat Penjaja Stutong yang juga enggan dikenali berkata, tomato Cameron yang agak besar ada kenaikan RM7 dan yang bersaiz sederhana dijual pada harga RM5 sekilogram.

“Cili kecil saya jual RM20 sekilogram naik RM1 dan yang paling murah tomato dari Indonesia yang kecil RM5 sekilogram,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pembantu Penjaja Ikan, Pusat Penjaja Stutong, yang hanya mahu dikenali sebagai Dayat, 22, berkata majikannya tidak menaikkan harga ikan dan masih kekal RM6 sekilogram bagi ikan tongkol dan ikan kembung jenis kecil.

“Kalau ada kenaikan di negeri lain saya rasa ia bergantung kepada pembekal yang menjual ikan segar lagipun susah nelayan mahu ke laut sekarang disebabkan musim hujan,” katanya.

Henry Ladong yang menjual ikan-ikan segar di Pusat Penjaja Stutong sejak tiga tahun lalu juga tidak menaikkan harga ikan dan makanan laut yang lain.

“Kami beli ikan-ikan ini dari pembekal tempatan, kalau mahal sangat nanti siapa yang mahu membeli, lagipun harga memang di pantau oleh KPDNKK negeri… kelmarin mereka ada memeriksa,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar kebangsaan melaporkan kenaikan harga bagi sayur-sayuran dan ikan di pasaran di ibu negara berkemungkinan disebabkan banjir yang melanda Thailand baru-baru ini.