Miri pangkalan kedua Unit Udara

0

Pangkalan baharu bantu perkasa usaha memerangi jenayah di Sarawak

KUCHING: Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak bakal mempunyai sebuah lagi pangkalan udara di Miri dalam usaha untuk terus memerangi jenayah di negeri ini.

Pemangku Komander Unit Udara PDRM Sarawak, DSP Alias Abd Wahab berkata, pembinaan pangkalan baru tersebut adalah sebagai penambahan pangkalan udara yang sedia ada kini.

“Kini cuma ada sebuah pangkalan udara di Sarawak (berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching)… justeru dengan adanya pembinaan pangkalan udara baharu di Miri nanti akan melancarkan lagi tugas-tugas kepolisan Unit Udara PDRM untuk terus memerangi jenayah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai sesi soal jawab bersama pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang, Kota Samarahan, di sini semalam.

Menurutnya, pembinaan pangkalan udara baharu tersebut juga dilihat sebagai satu keperluan ekoran daripada keluasan dan bentuk muka bumi negeri ini.

“Sarawak adalah sebuah negeri yang luas dan melalui pembinaan pangkalan baharu itu nanti akan membolehkan anggota unit udara PDRM bertindak dengan lebih pantas serta memudahkan pengawasan melalui udara dilakukan di setiap bahagian di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai tarikh pembinaan pangkalan baharu tersebut akan bermula.

Sungguhpun begitu, beliau memberitahu, Unit Udara PDRM Pangkalan Sarawak juga akan memperbesarkan pangkalan udara yang sedia ada kini.

“Kita sudah diberikan tapak oleh kerajaan negeri dan kini kita hanya menunggu peruntukan sahaja untuk memulakan projek tersebut.

“Selain itu, kita juga merancang untuk membina sebuah hangar yang lebih besar agar dapat memuatkan lebih banyak kapal terbang dan helikopter,” katanya.

Beliau menambah, kini hanya terdapat dua helikopter dan dua kapal terbang sahaja di pangkalan tersebut.

“Memang kita merancang untuk menambah bilangan helikopter dan kapal terbang tetapi kita masih bedepan dengan kekangan kewangan.

“Oleh itu, sekiranya kewangan kita mencukupi, kita akan berusaha untuk menambah serta mendapatkan pesawat yang baru,” katanya.

Unit Udara PDRM Pangkalan Sarawak ditubuhkan pada tahun 2000 di bawah Jabatan Ketenteraman Awam (JKA) dan mempunyai 65 anggota lain-lain pangkat yang terdiri daripada tujuh juruterbang kapal terbang dan lima juruterbang helikopter.

“Unit Udara PDRM adalah satu unit yang membantu membanteras dan mengesan jenayah,” tambah Alias.