Dua beradik warga emas hidup terpinggir harapkan sumbangan

0

RAWATAN: Ted Siew diberi rawatan suntikan dan pil secara berkala agar cepat sembuh di kediaman usangnya semalam.

KUCHING: Dua adik-beradik warga emas tinggal di rumah ladang terpinggir yang usang di Batu Kawah mengharapkan sumbangan dan bantuan orang ramai.

Ketika ditemui, Chai Teck Jiew, 54, merupakan bekas pesakit mental juga penjaga tunggal kepada adik perempuannya, Chai Ted Siew, 52, yang kini masih menerima rawatan penyakit skizofrenia (penyakit mental kronik).

Pemberita dimaklumkan oleh Pegawai Perubatan Bertugas Pasukan Komuniti Hospital Sentosa yang enggan dikenali berkata, Ted Siew menerima rawatan bagi penyakitnya itu dua kali sebulan.

“Bagaimanapun, selepas ini rawatan Ted Siew akan dikurangkan kepada sekali sebulan dan juga diberi makan ‘clozapine’ (sejenis ubat anti psikotik),” katanya.

Teck Jiew yang lebih tua tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal di rumah ladang usang berlantaikan tanah dan dinding kayu berusia 52 tahun peninggalan keluarga bersama adik perempuannya itu.

Teck Jiew turut disahkan oleh Pegawai Perubatan Pasukan Komuniti Kota Sentosa sihat walaupun kadangkala mengulangi perkataan yang disebutnya beberapa kali dan tidak berbahaya untuk didekati.

Pemberita turut dimaklumkan rumah terbabit mempunyai bekalan elektrik tetapi tidak mempunyai bekalan air serta jauh dari pusat bandar, justeru Teck Jiew akan meletakkan takungan di luar rumah yang beralamat di 172, Jalan Kim Chu Seng, Batu Kawah untuk mendapatkan air hujan.

Pada masa yang sama, Teck Jiew dan adiknya dalam proses untuk menerima kad Orang Kurang Upaya (OKU) namun tidak pernah mendapat sumbangan daripada orang ramai mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar pegawai JKM untuk menyiasat.

“Bagi tempat tinggal, kita boleh mengesyorkan kepada Pejabat Daerah untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau naik taraf atau membina baru,” katanya melalui mesej pesanan ringkas (SMS) semalam.

Sebarang bantuan boleh dihulurkan dengan menelefon Pasukan Komuniti Kota Sentosa 082-612321 sambungan 235.

TUA DAN USANG: Rumah peninggalan keluarga menjadi tempat berteduh dua beradik Teck Jiew dan Ted Siew jauh daripada orang ramai.