Dua lelaki ditahan, dadah dirampas

0

Hasil rampasan…. Shamsudin (duduk) bersama Jasmin (kanan) menunjukkan hasil rampasan selepas sidang media.

LAHAD DATU: Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di sini telah berjaya merampas 104.23 gram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM3,500 dan menahan dua suspek lelaki warga asing selepas disyaki terlibat sebagai pengedar dadah dalam satu serbuan yang dilakukan di jalan Kiambang, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Shamsudin Mat berkata bertindak atas maklumat awam kira-kira jam 1 petang, sepasukan anggota BSJND telah bergegas ke tempat kejadian dan melakukan intipan ke atas kedua-dua lelaki berumur 18 dan 15 tahun yang dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri dan menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek pertama yang berumur 18 tahun telah menjumpai satu plastik berwarna hitam di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu sebanyak 19 paket kecil pelbagai saiz seberat 31.53 gram yang dijual mengikut kuantiti berat dari RM30 hingga RM110.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg suspek juga turut menjumpai dadah yang disyaki jenis syabu sebanyak 44 paket kecil pelbagai saiz seberat 72.70 gram. Turut dijumpai dalam beg berkenaan ialah satu dompet berwarna pink bersama wang tunai sebanyak RM41,00 dan satu kad Alquantance International,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, pemeriksaan terhadap salah seorang rakan suspek yang berumur 15 tahun tidak menjumpai apa-apa barangan yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Shamsudin berkata kedua-dua lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ditahan reman sehingga siasatan selesai.

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan kepada masyarakat Lahad Datu yang telah banyak membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berunsurkan jenayah terutama menangani masalah penyalagunaan dadah di daerah ini.

Beliau juga menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah ini supaya tidak teragak-agak untuk menyalurkan kepada pihaknya jika ada sebarang maklumat berkaitan dadah samada di peringkat pengguna, kecil-kecilan atau besar-besaran, agar tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.

“Kejayaan tangkapan semalam (malam Selasa) merupakan kali keenam untuk tahun 2011 bagi kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika kita merujuk perbandingan pada tahun 2010 hanya satu kes tangkapan sahaja bersabit dengan seksyen yang sama,” katanya.

Beliau turut meningatkan bahawa anggota masyarakat tidak perlu khuatir menyalurkan maklumat berunsurkan jenayah kerana segala identiti penyampai maklumat akan dirahsiakan sebagai langkah keselamatan.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu, ASP Jasmin Hussin.