Jongkong emas RM2.88j lesap

2

ROMPAK: Kelihatan cermin depan dan tingkap teksi yang dinaiki mangsa berderai setelah dipecahkan empat perompak terbabit yang turut melarikan beberapa jongkong emas seberat 16 kilogram.

Tiga jurujual dirompak ketika teksi dinaiki berhenti di lampu isyarat di Miri

MIRI: Tiga jurujual dari Semenanjung Malaysia kerugian RM2.88 juta selepas beberapa jongkong emas yang berat keseluruhannya 16 kilogram yang di-bawa bersama, dirompak empat lelaki bertopeng dalam kejadian yang berlaku di lampu isyarat berhampiran simpang jalan menuju ke Lapangan Terbang Miri di sini, petang semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu, tiga jurujual terbabit yang sedang dalam perjalanan dari Miri menuju ke Lapangan Terbang Miri dengan menaiki sebuah teksi membawa sejumlah emas yang disim-pan di bahagian bonet teksi ber-kenaan.

Bagaimanapun, ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna keemasan yang dinaiki empat perompak terbabit lalu memintas dan menghalang bahagian hadapan kenderaan me-reka.

Tiga daripada lelaki terbabit meluru keluar menuju ke arah teksi mangsa sementara seorang lagi     (pemandu) menunggu dalam kenderaan mereka.

Perompak terbabit yang dipercayai bersenjatakan objek keras dan pisau pemotong lalu bertindak memecahkan tiga bahagian cermin teksi iaitu sebelah pemandu, penum-pang bahagian depan dan belakang sebelah kiri sebelum membuka bonet belakang teksi berkenaan.

Sebaik bonet belakang dibuka, mereka mengambil emas berkenaan dan masuk semula ke dalam kereta sebelum memecut laju untuk me-larikan diri menuju ke arah Jalan Miri-Bypass.

Dalam kejadian yang berlaku kurang lima minit itu, hanya pemandu teksi berusia 29 tahun yang mengalami kecderaan ringan di bahagian dahi akibat terkena serpihan cermin.

Manakala tiga jurujual terbabit yang berusia lingkungan 40-an,  seorang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan dan dua di belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu turut menjumpai bahagian hulu (pemegang) pisau pemotong yang patah serta tertinggal di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi Utusan Borneo memberitahu bahawa pihaknya telah dimaklumkan tentang kejadian itu namun masih belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian tersebut meskipun ketiga-tiga mangsa telah disoal siasat.

“Sekarang belum dapat dipasti-kan sama ada ia rompakan atau sebaliknya memandangkan ketiga-tiga mangsa masih belum membuat laporan polis,” katanya.