Bajet alternatif DAP tidak akan berhasil meraih sokongan Dayak

0

ABDUL KARIM

KUCHING: Usaha DAP meraih sokongan rakyat terutama di kalangan Dayak tidak akan berhasil dengan semata-mata membentangkan bajet alternatif negeri Sarawak yang lebih cenderung terhadap golongan berkenaan.

Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sudah terbukti pembangkang sekadar bijak menawarkan sesuatu tetapi gagal dalam pelaksanaannya.

“Tidak perlu pakatan pembangkang hendak buat bajet alternatif untuk Sarawak dengan memberi penekanan kepada masyarakat Bumiputera.

“Kita sudah dapat lihat bagaimana Bumiputera tersisih di Pulau Pinang dan Selangor apabila DAP atau PKR memerintah,” katanya yang dihubungi semalam.

Beliau yang diminta mengulas tentang bajet alternatif dibentangkan DAP Sarawak kelmarin berkata sehingga sekarang kerajaan pakatan pembangkang masih gagal menunaikan janji membina rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

“Mana projek perumahan rakyat di Pulau Pinang? Kerajaan Pulau Pinang tidak mahu mengadakannya kerana projek begini selalunya melibatkan orang Bumiputera,” katanya.

Abdul Karim berkata lagi, tidak usah pakatan pembangkang membentangkan bajet bagi mengaburi mata rakyat sedangkan apa yang mereka lakukan tidak mampu memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.

“Wong Ho Leng (Pengerusi DAP Sarawak) hanya dapat memberi bot bawa mayat saja kepada kampung di bawah kawasannya. Wakil rakyat pakatan yang lain pun sama juga,” katanya.

Antara lain, bajet yang diumumkan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen kelmarin menyentuh tentang peruntukan RM1 bilion khusus untuk Dayak.