Gagasan 1Malaysia tiada unsur politik: Chin

0

Gagasan yang diperkenalkan Perdana Menteri ini memberi manfaat kepada semua rakyat

SIMBOLIK: Chin (empat kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Sepakat 1Malaysia Parlimen Miri di Kampung Luak semalam.

 

MIRI: Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada unsur-unsur politik atau membawa keuntungan kepada sesetengah pihak sebaliknya ia memberi manfaat kepada semua rakyat.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin menyelar dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan Gagasan 1Malaysia mempunyai agenda politik dan hanya membawa keuntungan kepada kerajaan.

“Sejak Gagasan 1Malaysia diperkenalkan, ia telah diterima dan disambut baik oleh semua rakyat tidak kira bangsa dan agama bahkan ia juga memberi manfaat kepada pengukuhan kaum,” katanya pada Majlis Sepakat 1Malaysia Parlimen Miri di Kampung Luak semalam.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri menjelaskan Gagasan 1Malaysia tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti keagamaan, bahasa, politik dan sebagainya sebaliknya ia hanya dimanipulasi pihak tertentu.

“Ramai yang salah takrif konsep Gagasan 1Malaysia kerana ia dimanipulasi pihak tertentu dan kita bercadang supaya satu forum menerangkan secara terperinci konsep ini dianjurkan,” jelasnya.

Pada masa sama, Chin turut mencadangkan supaya Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan satu ceramah atau forum terbuka melibatkan rakyat tidak kira fahaman politik.

“Forum ini menerangkan secara lanjut maksud sebenar Gagasan 1Malaysia dan ia boleh melibatkan perbincangan secara terbuka melibatkan ketua-ketua kaum, pemimpin masyarakat dan parti politik,” katanya.

Chin menjelaskan, tujuan forum berkenaan diadakan adalah untuk mengelakkan golongan elit atau mereka yang berpendidikan salah faham akan konsep 1Malaysia melalui laman sesawang.

“Saya sendiri terkejut terdapat pihak tertentu memanipulasi konsep ini dalam laman-laman sesawang demi untuk kepentingan peribadi atau agenda tertentu dan ia perlu dihentikan serta-merta,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pameran, ceramah atau forum perlu diadakan di peringkat akar umbi supaya rakyat lebih memahami maksud sebenar Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

Hadir sama ialah Residen Miri Antonio Kahti Galis, Setiausaha Politik Peter Chin Datuk Sebastian Ting, Pengarah Penerangan Malaysia Resat Salleh dan Pemanca Abang Mohamad.