K’jaan perkasa bahasa kebangsaan

0

Ia mampu menyemai rasa kecintaan dalam bahasa Melayu sebagai simbol penyatuan kaum dan perpaduan di negeri ini: Dr Rahman

PENGHARGAAN: (dari kiri) Abang Patdeli menyaksikan Mahra (dua kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus di Limbang kelmarin.

 

LIMBANG: Kerajaan pusat dan negeri melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  sedang memperhebatkan usaha untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perkhidmatan awam dan kehidupan seharian.

ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata perkongsian pintar itu mampu menyemai rasa kecintaan dalam bahasa Melayu sebagai simbol penyatuan serta tali pengukuh perpaduan kaum di negeri ini.

Katanya bagi mencapai hasrat itu kerajaan sudah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9, 2011-Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam untuk dipatuhi semua agensi kerajaan.

“Malah agensi kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Amar Mohamad Morshidi  Abdul Ghani sentiasa menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perkhidmatan awam.

“Justeru, perkhidmatan kaunter dan urusan rasmi agensi kerajaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya pada Wacana Penghayatan Bahasa Kebangsaan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Bahagian di Limbang kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Mahra Salleh.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Patdeli Abang Muhi dan  Pegawai KEMAS Daerah Limbang Rosnitah Pit.

Dr Rahman berkata, di peringkat  jabatan kerajaan, segala urusan rasmi di dalam negeri dan dengan masyarakat Malaysia perlu mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Malah menjadi tanggungjawab jabatan mengadakan pelbagai kegiatan untuk mempertingkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan pegawai dan kakitangan agar mereka dapat berurusan dalam bahasa kebangsaan yang lebih berkesan dan cekap,” katanya.

Beliau menambah, semua pihak termasuk sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus membantu kerajaaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Usaha ini selari dengan  hasrat  kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komersial, ekonomi, memupuk perpaduan serta digunakan secara meluas di tempat awam tercapai.

“Pemimpin syarikat korporat disaran supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian,” jelasnya.

Beliau berkata lagi penggunaan bahasa Melayu oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang digunakan mesti diberi penegasan.

Ini penting katanya bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

“Usaha-usaha mempertingkatkan penggunaan bahasa kebangsaan kita dalam semua bidang tidak bermakna mengabaikan mahupun menidakkan pembelajaran bahasa-bahasa lain.

“Sebaliknya, yang ditekankan oleh pihak kerajaan melalui agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka adalah dalam apa juga urusan rasmi, bahasa kebangsaan hendaklah didahulukan dan diutamakan, khususnya ketika berurusan dengan masyarakat Malaysia sendiri,” katanya.