SSA diberi tempoh dua minggu

TAHNIAH...Foo Kah Hin (kanan) iaitu juara perseorangan kategori Production menerima hadiah daripada Peter.

KOTA KINABALU: Persatuan Menembak Sabah (SSA) diberi masa lebih kurang dua minggu untuk memberi nama jurulatih asing bagi melatih para atlet menembak tempatan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang En Yin berkata jika dalam tempoh berkenaan pihak SSA dapat memberi nama jurulatih yang diperlukan, beliau akan menyokong seratus peratus pemilihan itu.

Menurutnya, arena sukan menembak di Sabah sememangnya memerlukan khidmat jurulatih yang cukup berpengalaman bagi melahirkan penembak yang berpotensi untuk diketengahkan dalam kejohanan peringkat kebangsaan.

Justeru, jelasnya, dengan usaha itu, ia dapat membantu mempertingkatkan lagi perkembangan sukan menembak seterusnya melahirkan lebih ramai atlet yang berjaya dalam sukan menembak.

“Kementerian saya sentiasa memberi galakan, kerjasama dan sokongan bagi meningkatkan kemajuan dan keupayaan para atlet menembak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa (IPSC) SSA 2011 di Lapang Sasar Menembak Lok Kawi di sini kelmarin.

Peter berkata, sambutan menggalakkan para peserta sempena IPSC 2011 secara jelas menunjukkan semangat kesukanan para peserta yang sebahagiannya datang daripada Kuala Lumpur, Selangor, Singapura dan juga Sabah.

“Saya berharap kejohanan ini dapat membantu menaikkan nama baik Sabah sebagai pusat rekreasi dan riadah sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Presiden SSA, Brig Jen (B) Datuk Abdul Ghani Abd Rashid berkata setakat ini pihaknya masih mengenal pasti jurulatih yang akan dipilih untuk melatih atlet menembak Sabah.

Katanya, hanya seorang sahaja jurulatih yang akan dipilih dan pemilihan setakat ini daripada negara Rusia, Korea dan juga China.

“Kita berharap tahun depan kita akan mendapat khidmat jurulatih asing untuk pasukan menembak Sabah,” jelasnya.

Pada kejohanan itu, pasukan menembak yang mewakili kumpulan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) A muncul juara kategori Production dengan kutipan mata sebanyak 2341.7967.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan yang mewakili Penerbangan Malaysia (MAS) D yang mengutip mata sebanyak 2265.6916 manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan CSSG/SERT yang mewakili negara Singapura dengan kutipan mata 2075.1710.

Pertandingan yang dijalankan sejak Jumaat lepas itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Production dan Standard yang mana setiap kategori merangkumi acara perseorangan dan kumpulan.

Penembak yang mewakili Kelab Menebak MAS, Foo Kah Hin muncul juara kategori Production acara perseorangan dengan kutipan mata keseluruhan sebanyak 916.1507.

Ia diikuti oleh penembak yang mewakili TLDM A, Rizal Sisan yang berjaya meraih tempat kedua dengan mengumpul mata sebanyak 903.1326.

Tempat ketiga turut dimenangi oleh penembak yang mewakili TLDM A, Horrizon Drima dengan kutipan mata sebanyak 877.2732.

Bagi kategori Standard acara perseorangan, penembak yang mewakili Singapura, Matthew Lee muncul johan dengan kiraan 100 peratus markah.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Adrian Salleh dan Mohd Faizal Abdul Malid dengan kiraan markah 98.77 peratus dan 81.08 peratus.

Satu lagi kategori yang dipertandingkan iaitu ‘Man vs Man’ menunjukkan penembak TLDM A, Rizal Sisan muncul juara manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Foo Kah Hin dan Kelvin Lee yang mewakili Kelab Menembak MAS.

What do you think of this story?
  • Interesting (100%)
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of