Akaun awam S’wak 2010 terima perakuan baik

0

KUCHING: Sarawak sekali lagi mendapat perakuan yang baik bagi Akaun Awam Negeri Sarawak 2010, tahun kesembilan negeri ini menerima perakuan seumpamanya, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Taib, yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kedudukan kewangan negeri ini turut menerima penarafan kredit yang baik daripada agensi penarafan antarabangsa dan tempatan, termasuk Moody’s, Rating Agency Malaysia Bhd (RAM) dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

“Rekod prestasi baik ini membuktikan kerajaan negeri telah menjalankan pengurusan kewangannya secara telus, bertanggungjawab dan berhemat selaras dengan peraturan yang ditetapkan dan oleh itu, kita harus terus berdisiplin dalam cara kita meng-uruskan kewangan jika kita mahu terus menjadi negeri yang mempunyai kewangan yang kukuh,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2012), semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Katanya, ia adalah lebih kritikal sekarang bagi Sarawak untuk mengekalkan kemapanan penarafan kredit ter-utama dalam usahanya menarik pelaburan langsung dan tidak langsung ke dalam negeri dalam jumlah yang lebih besar pada masa depan.

Sarawak adalah satu-satu-nya negeri di negara ini yang berjaya mendapat penarafan yang baik daripada agensi penarafan yang menanda aras pengurusan kewangan negeri itu setanding dengan negara-negara lain di seluruh dunia, katanya. — Bernama