Nelayan mesti rebut peluang disediakan

0

IKAN SEGAR…Sapawi bersama Pengarah LKIM Sabah Jamaludin Osman dan Pengerusi Penatap, Masri Latip menunjukkan isyarat bagus menandakan ikan segar dan harga murah di tempat lokasi pasar ikan nelayan di Tanjung Pagar Sipitang.

SIPITANG: Golongan nelayan tidak seharusnya menyisihkan diri tetapi mengambil peluang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan masing-masing.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan menyediakan banyak peluang kepada golongan itu termasuklah yang telah diumumkan pada Bajet 2012 bulan lalu.

“Bajet 2012 turut tidak mengetepikan kaum nelayan sebaliknya kemudahan untuk golongan itu turut ditambah dan ini adalah peluang ke arah meningkatkan sumber pendapatan nelayan,” katanya pada perasmian pasar nelayan di Tanjung Pagar di sini kelmarin.

Beliau berkata, selain meneruskan pemberian subsidi minyak untuk golongan nelayan dan elaun sara hidup, kerajaan turut menyediakan peruntukan khas sebanyak RM300 juta untuk pembaikan, bina semula dan penempatan rumah nelayan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sebagai tanda menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh golongan nelayan, yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran negara berterusan,” katanya.

Bagaimanapun, Sapawi menegaskan pengawasan perlu dilakukan bagi memastikan golongan nelayan yang berkelayakan tidak terpinggir daripada menerima dan menikmati kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kita mahu kemudahan itu benar-benar sampai kepada golongan nelayan yang berkelayakan…kita tidak mahu ada yang terpinggir sehingga timbulnya rungutan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta agar Persatuan Nelayan Teluk Padas (Penatap) yang mempunyai 720 ahli memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama bagi memastikan golongan nelayan terus diberikan perhatian.

Katanya, kerajaan tidak akan mengabaikan golongan nelayan tetapi pada masa sama memerlukan sokongan daripada mereka serta persatuan dan juga pihak lain.

“Sokongan itu bagi memastikan segala perancangan dan usaha kerajaan dapat diterima dan dimanfaatkan oleh golongan nelayan,” tambahnya.