Tidak sempat beli telefon bimbit Pelajar cuba lintas jalan maut dirempuh sebuah kenderaan

2

PARAH...mangsa yang dirempuh sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Myvi meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah dibahagian kepala.

KOTA KINABALU:  Hasrat seorang pelajar yang bekerja sambilan di sebuah pusat peranginan di sini untuk membeli telefon bimbit baru tidak kesampaian apabila maut dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 2.3 Jalan Tuaran, berhadapan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, di sini, malam Rabu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Mohamad Ashrul Mohd Awang, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.

“Sebelum kejadian dia (arwah) ada memaklumkan kepada saya bahawa dia hendak bekerja sambilan di sebuah pusat peranginan, di sini, tapi saya menghalangnya kerana masih muda dan perlu memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Namun, dia berkeras untuk mahu kerja dan memberi alasan dia hanya bekerja dalam tempoh tertentu supaya dapat membeli telefon bimbit yang baru, tapi saya tidak menyangka kelmarin (Rabu lepas) dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Norimi Musa, 49, ibu kepada  Mohamad Ashrul.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama enam rakannya sedang menunggu bas di perhentian bas berhadapan bangunan RTM dan selepas itu mangsa dipercayai menyeberang jalan untuk membeli air minuman di sebuah stesen minyak berhampiran tempat kejadian.

Bagaimanapun, ketika melintas secara tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dari arah Lampu Isyarat Wisma Wanita menuju ke pusat bandar merempuh mangsa sehingga tercampak ke pembahagi jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan lalu dipercayai meninggal dunia ditempat kejadian. Selepas kejadian itu pemandu kenderaan terbabit membuat laporan polis.

Menurut Norimi, telefon bimbit anaknya (mangsa) dipercayai sudah rosak, namun dia tidak mempunyai wang untuk membeli telefon bimbit baru, menyebabkan dia mahu bekerja bersama-sama rakannya untuk mendapat sedikit wang bagi membeli telefon bimbit.

“Hasratnya tidak kesampaian, dia sanggup bekerja sambilan di sebuah pusat peranginan di sini, walaupun saya berkali-kali melarangnya dan memberitahu akan membelinya telefon, namun dia tetap berdegil.

“Tapi, belum sempat memperolehi hasil usahanya untuk membeli telefon bimbit, dia sudah pergi, ” katanya dengan nada sebak sambil menangis.

Katanya, dia mendapat tahu berkenaan kemalangan itu selepas anak jirannya memaklumkan bahawa anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Saya terus menghubungi suami yang juga seorang anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daeran (IPD) Sandakan bagi memaklumkan kejadian, sebelum bergerak ke Hospital Queen Elizebath (HQE).

“Saya tidak menyangka dia meninggalkan kami, sebelum kejadian dia sangat gembira kerana abangnya akan melangsungkan perkahwinan dalam Disember tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, rakan mangsa Mohamad Azrol Azwan Johari, 16, berkata ketika kejadian mangsa hendak membeli air minuman di sebuah stesen minyak berhampiran.

“Sebelum dia (mangsa) bergerak, saya memberitahu supaya menunggu rakan yang lain, namun dia terus melintas sebelum dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Saya terus bergegas untuk mendapatkan mangsa. Ketika itu dia (mangsa) masih bergerak dan meminta rakan yang lain supaya menghubungi pihak hospital, sebelum sebuah kenderaan ambulans tiba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam Rabu lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis bandaraya, Deputi Superintendan Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa maut ditempat kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Mayat mangsa dibawa ke HQE untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.