Bajet terbesar dalam sejarah

0

Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman menunjukkan buku Bajet 2012 negeri Sabah sebelum membentangkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.

Sabah umum peruntukan berjumlah RM4,048.28 juta untuk tahun 2011

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kelmarin mengumumkan cadangan perbelanjaan bagi tahun 2012 berjumlah RM4,048.28 juta yang merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, berkata anggaran perbelanjaan kali ini melibatkan kenaikan sebanyak RM979.62 juta atau 31.92 peratus berbanding tahun 2011 yang berjumlah RM3,068.66 juta.

Berkata anggaran ini dibentuk dengan mengambil kira keadaan kewangan yang kukuh dan Objektif Bajet, kata beliau anggaran hasil Sabah pada 2012 adalah sebanyak RM3,690.53 juta.

“Cadangan Anggaran Emolumen bagi tahun 2012 adalah sebanyak RM623.66 juta dengan kenaikan sebanyak RM26.10 juta  atau 4.37 peratus berbanding anggaran sebanyak RM597.56 juta dalam tahun 2011.

“Peningkatan perbelanjaan emolumen disebabkan usaha Kerajaan memenuhi keperluan pewujudan dan pengisian jawatan yang benar-benar diperlukan sebagai jentera penggerak pentadbiran  dan pemangkin pembangunan.

“Anggaran sebanyak RM1,120.85 juta adalah disyorkan untuk Perbelanjaan Berulang bagi tahun 2012. Ini melibatkan kenaikan sebanyak RM63.14 juta (5.97%) berbanding anggaran sebanyak RM1,057.71 juta dalam tahun 2011.

“Peningkatan perbelanjaan berulang disebabkan oleh antaranya kenaikan perbelanjaan kos pengurusan operasi sektor awam bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian,” katanya ketika membentangkan cadangan perbelanjaan 2012 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, cadangan sebanyak RM2,303.77 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun 2012 menunjukkan kenaikan sebanyak RM890.38 juta (63%) berbanding RM1,413.39 juta bagi tahun 2011.

“Antara program dan aktiviti yang mengalami peningkatan peruntukan ialah Pelaburan Ekuiti, Pembayaran kepada Konsesi Air, Bangunan Kerajaan, Perbelanjaan Untuk Penyediaan Infrastruktur Sokongan dan Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Sejumlah RM881.87 juta peruntukan negeri akan disediakan untuk perbelanjaan pembangunan negeri pada tahun 2012,”katanya.

Justeru, kata beliau, sebahagian besar bajet pembangunan tahun 2012, iaitu sebanyak RM545.91 juta (64.08%), disalurkan kepada sektor ekonomi manakala sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM256.9 juta (30.16%).

“Sementara itu, Pelan Strategik Pembangunan Negeri atau lebih dikenali sebagai Halatuju Pembangunan negeri Sabah akan mendapat peruntukan sebanyak RM617.43 juta (72.5%) daripada jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bajet pembangunan untuk tahun 2012,” katanya.

Bagi Agihan Perbekalan dan Pembangunan 2012, Kementerian Kewangan menerima cadangan peruntukan perbekalan terbesar berjumlah RM 1,918.62 diikuti Kementerian Pembangunan Infrastruktur (RM679.31 juta), Jabatan Ketua Menteri (RM432.03juta),Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM282.94juta), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (RM133.03 juta) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (RM105.39 juta).

Seterusnya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM88.48 juta), Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (RM87.37juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM67.04juta),Kementerian Belia dan Sukan (RM56.14juta) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian (RM10.06juta).

Bagi cadangan peruntukan Pembangunan pula, peruntukan terbesar dicadangkan untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur iaitu RM310.40 juta diikuti Jabatan Ketua Menteri (RM432.03juta), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM131.99juta),Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM99.72juta), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM34.5juta) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (RM24.65juta).

Seterusnya, Kementerian Belia dan Sukan (RM24.18juta),Kementerian Pembangunan Perindustrian (RM19.77juta), Kementerian Kewangan (RM18.58juta), Kementerian Pembanguna Masyarakat dan HalEhwal Pengguna (RM7.14juta) dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (RM5juta).

“Bagi perbelanjaan yang tidak termasuk dalam Kementerian-kementerian pula diperuntukkan sebanyak RM23.97 juta, Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM163.9 juta manakala RM 15.00 juta bagi simpanan luar jangka,”katanya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, anggaran Hasil disemak bagi tahun 2011 dijangka berjumlah RM3,820.45 juta iaitu peningkatan  sebanyak  RM1,072.51 juta  atau  39% berbanding anggaran asal sebanyak RM2,747.94 juta.

“Lima sumber hasil utama iaitu Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah, Royalti Petroleum, Perolehan dan Faedah dari Pelaburan serta Tanah dan Perhutanan  menyumbang kepada peningkatan hasil disemak bagi tahun 2011,”katanya yang menambah kesemua sumber terbabit merangkumi lebih 80 peratus hasil disemak.

Tambah beliau, kerajaan Negeri  yakin hasil negeri akan mencapai prestasi yang sama pada tahun 2012.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Negeri harus mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan anggaran hasil memandangkan kebanyakan sumber hasil utama negeri adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri terutamanya dalam penentuan harga dan pengeluaran bagi minyak sawit mentah dan petroleum.

Hasil Negeri diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM1,165.10 juta atau 32%.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1,100.00 juta disumbangkan oleh Cukai Jualan. Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah di bawah kategori ini dijangka menyumbang RM1,000.00  juta.

Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2,189.12 juta atau 59%.

Dua penyumbang utama dalam kategori ini ialah Faedah dan Perolehan dari Pelaburan dengan anggaran berjumlah RM805.46 juta  dan Royalti Petroleum dengan anggaran sebanyak RM774.46 juta.

“Sebanyak RM336.31 juta  atau  9% adalah dari kategori Terimaan Bukan Hasil. Kategori  ini kebanyakannya adalah geran dan sumbangan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.