Isu bantuan bulanan, JKM sedia anjur taklimat: Fatimah

0

FATIMAH

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan mengadakan taklimat bersama pihak berkaitan berhubung isu permohonan bantuan bulanan kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah berkata, malahan pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bersedia untuk turun padang berkhidmat.

“Kita mempunyai pelbagai jenis bantuan yang diberikan termasuk kepada kanak-kanak, warga tua, pekerja cacat, penyakit kronik, Orang Kurang Upaya dan bantuan am.

“Bagaimanapun setiap daripadanya mempunyai kriteria yang berbeza. Maka itu, kita menyarankan kepada mereka yang berminat untuk mengetahuinya, kementerian bersedia mengadakan taklimat berhubung perkara ini,” katanya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Yap Hoi Ling (DAP-Dudong) berhubung alasan permohonan bantuan ditolak dan kini mencatatkan jumlah yang tinggi di Sibu.

Fatimah berkata, pada tahun 2010 sebanyak 2,487 kes diluluskan bantuan, manakala 1,543 ditolak sementara pada tahun ini sebanyak 1,086 kes diluluskan manakala 1,208 ditolak.

“Sehingga kini, secara keseluruhannya permohonan bantuan bulanan yang diterima pada tahun 2010 sebanyak 4,030 diberikan sementara hingga Oktober 2011 sebanyak 2,294 bantuan,” jelasnya.

Sementara itu, menjawab kepada pertanyaan tambahan daripada Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek) berhubung kelewatan menerima bayaran kepada pemohon beberapa bulan lalu, Fatimah mengakui ia memang ada.

“Bagaimanapun ia disebabkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang ingin menyelaras dan memasukkan senarai penerima bagi skim di bawah 1Karisma.

“Namun, saya percaya masalah ini kini sudah selesai,” tegas beliau.

Mengulas mengenai isu OKU didakwa untuk datang sendiri ke Wisma Sanyan namun mengalami kesukaran untuk naik ke bangunan itu oleh Ho Leng bagi proses temu duga JKM, Fatimah menjelaskan sekiranya ia benar berlaku, pihaknya sedia membantu.

Kata beliau, sekiranya ia dimaklumkan kepada pihak JKM, bahawa golongan itu tidak dapat pergi, pihaknya sedia turun padang.

Sementara itu, pada sesi persidangan kelmarin, Fatimah berkata permohonan untuk membuka kelas Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama mendapat sokongan Pejabat Pelajaran Daerah Baram dan Jabatan Pelajaran Negeri.

Katanya, permohonan itu juga telah dikemukakan untuk diluluskan oleh Kementerian Pelajaran dalam Mesyuarat Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) Perjawatan Tahun 2012.

“Keputusan permohonan tersebut dijangka akan diketahui pada awal Disember depan,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan (BN) Dennis Ngau.

Bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Ngau, Fatimah berkata, biasanya pihak sekolah akan menghantar surat makluman kepada pelajar yang layak meneruskan pengajian mereka di Tingkatan Enam Rendah.

“Biasanya bagi pelajar yang telah disenarai lulus memasuki Tingkatan Enam Rendah, pihak sekolah biasanya akan sedaya upaya memastikan apa jua cara sekalipun (menghantar) surat makluman pelajar telah disenaraikan dalam Tingkatan Enam Rendah,” ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan dikemukakan Abu Seman Jahwie (BN-Jemoreng) mengenai usaha menempatkan dan pembinaan semula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu yang dikatakan daif, Fatimah berkata projek menambah baik sekolah itu akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan kedua (2012-2013) Rancangan Malaysia Ke-10.