Sekolah sukan di Miri, Sibu

0

Kerajaan hanya tunggu masa untuk pelaksanaan: LeeKUCHING: Dua lagi sekolah sukan bakal diwujudkan di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai atlet berwibawa untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, dua sekolah sukan terbabit masing-masingnya akan diwujudkan di zon utara, Miri dan zon tengah, Sibu.

“Sememangnya kita telah mempunyai perancangan untuk membina sekolah-sekolah sukan terbabit bagi membolehkan pelajar-pelajar cemerlang dalam sukan ditempatkan di sekolah terbabit,” katanya ditemui Utusan Borneo pada sesi rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Lee berkata, sebuah sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Negeri (SMK Tabuan Jaya) telah diwujudkan dan kini menempatkan pelajar-pelajar yang aktif dalam pelbagai sukan.

Beliau menarik perhatian bahawa cadangan mewujudkan dua sekolah sukan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dan menunggu untuk dilaksanakan.

“Kita telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Pelajaran dan saya berharap pihak terbabit dapat meluluskan sekolah sukan yang kita mahu wujudkan,” katanya.

Lee ditanya mengenai cadangan itu setelah Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) mencadangkan pada Persidangan DUN di sini semalam agar sekolah sukan yang bakal diwujudkan di Sibu dibina di kawasan Nangka.

Menurut Lee, kementeriannya akan meneliti cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu dan berharap jika kelulusan daripada pihak Jabatan Pelajaran akan dilaksanakan.

“Kita amat gembira dengan cadangan ADUN Nangka itu dan kerajaan tiada mempunyai halangan untuk melaksanakan sekiranya pihak terbabit meluluskannya,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Annuar dalam ucapan perbahasannya meminta kerajaan membina sekolah sukan di Nangka bagi membolehkan atlet-atlet berbakat di Bahagian Sibu ditempatkan di sekolah terbabit.

Menurutnya, Sibu mempunyai ramai pelajar cemerlang dalam pelbagai sukan justeru beliau memohon agar sebuah sekolah sukan atau akademi sukan diwujudkan di Nangka, Sibu.

“Saya berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk membina sebuah sekolah sukan di Sibu agar kita dapat melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia,” katanya.