Lelaki dipercayai dicampak ke gaung selepas dibunuh

0

MAUT...Sepasukan polis forensik membungkus mayat mangsa dengan palstik hitam untuk dibawa ke HQE bagi tujuan bedah siasat.

PENAMPANG:  Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lepas akhirnya ditemui dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam gaung setinggi lebih kurang 30 meter di tebing konkrit Kampung Moyog, di sini Jumaat lepas.

Mayat Mahadi Kasmo, 29, ditemui lengkap berpakaian baju-T warna hitam dan berseluar pendek warna biru dalam keadaan tertiarap dengan beberapa kesan luka di bahagian kepala yang sudah berulat.

Mangsa ditemui ahli keluarganya sendiri kira-kira jam 5 petang Jumaat lepas selepas dia dikatakan gagal dihubungi sejak Rabu lalu.

Laporan polis berhubung kehilangan mangsa juga telah dibuat oleh keluarga mangsa sebelum ini.

Difahamkan, sebelum ini rakan mangsa telah memaklumkan kepada ahli keluarganya bahawa kali terakhir dia menghubungi mangsa petang sebelum kehilangannya dan memberitahu dia (mangsa) manghantar beberapa barang dari Keningau ke Kota Kinabalu dan hampir tiba di kawasan Kampung Moyog.

Berdasarkan petanda itu, ahli keluarga kemudian melakukan gerakan mencari di kawasan berdekatan kampung berkenaan dan terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di bawah gaung di tebing konkrit kawasan Moyog.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Singh kumar berkata mangsa dipercayai hilang 16 November lalu selepas menghantar barang dari Keningau ke Kota Kinabalu.

“Polis menerima laporan ahli keluarga mangsa pada 17 November lalu kira-kira jam 4 pagi, lalu sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Hasil siasatan pada Khamis lalu, kira-kira jam 3 pagi polis menemui kenderaan van yang digunakan mangsa dan terdapat kesan remukan kecil di bahagian belakang van berkenaan dipercayai dilanggar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini Jumaat lepas.

Beliau berkata, selepas itu polis menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa yang memaklumkan menemui mayat mangsa di bawah gaung di tebing konkrit paling tinggi di kawasan Moyog.

“Selepas itu sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di kepala dipercayai dipukul dengan benda keras, selain beberapa luka di badan.

“Siasatan di tempat kejadian tiada menemui sebarang kesan darah atau pergelutan, kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke dalam gaung atau boleh jadi mangsa ditolak jatuh ke dalam gaung berkenaan, namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Ratan berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan, dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizebath (HQE) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.