Pekerja limbungan maut disyaki ditikam dengan objek tajam

0

MIRI: Seorang pekerja warga negara Filipina meninggal dunia selepas mengalami cedera parah disyaki ditikam menggunakan objek tajam dalam satu kejadian di sini lewat petang kelmarin.

Terdahulu, mangsa yang berusia 30 tahun merupakan pekerja di sebuah limbungan kapal di Kuala Baram, kira-kira setengah jam dari pusat bandar raya Miri dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kuarters pekerja oleh rakannya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian kerana cedera parah di dada.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Ismail Idris yang dihubungi semalam mengesahkan kes ini.

“Buat masa sekarang, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Kami masih melakukan siasatan lanjut punca sebenar kematian mangsa,” jelasnya.

Siasatan penting untuk memastikan sama ada mangsa berniat membunuh diri atau dibunuh.

Ketika laporan ini ditulis, belum ada suspek ditahan berhubung kes ini.