Industri perkayuan terus diperkukuh

0

Pasarannya dipastikan stabil, berdaya saing

KUCHING: Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan dan memastikan pasaran industri perkayuan kekal stabil serta berdaya saing memandangkan industri tersebut merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak.

Menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, nilai eksport barangan kayu Sarawak telah meningkat sebanyak satu peratus kepada RM3.71 bilion pada enam bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

“Pada 2010 iaitu pada tempoh yang sama nilai eksport adalah RM3.68 bilion.

“Ini merangkumi lapan peratus daripada keseluruhan nilai eksport komoditi utama Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 dan usul untuk merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2012, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut Awang Tengah, peningkatan nilai eskport barangan kayu Sarawak banyak didorong oleh pertambahan dalam nilai eksport papan lapis.

“Eksport papan lapis telah mencatat kenaikan sebanyak tujuh peratus kepada RM2.10 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding RM1.95 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas,” ujarnya.

Katanya, pertambahan tersebut adalah disebabkan kenaikan pada tingkat harga papan lapis di pasaran antarabangsa.

Negara Jepun merupakan pasaran utama papan lapis iaitu 796,597 meter padu atau 61 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Korea Selatan (130,672 meter padu atau 10 peratus), Taiwan (111,912 meter padu atau 9 peratus).

“Pasaran eksport ini turut merangkumi negara lain termasuk Timur Tengah sebanyak 8.6 peratus, Amerika Syarikat (2.5 peratus), China (2.2 peratus), Filipina (2 peratus) dan Hong Kong iaitu (1.8 peratus),” katanya.

Bagaimanapun katanya, eksport balak menurun sebanyak empat peratus kepada 1.96 juta meter padu bernilai RM912 juta dalam enam bulan pertama 2011 berbanding 2.04 juta meter padu bernilai RM974 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Sehubungan itu menurut Awang Tengah, kerajaan negeri akan terus menjalankan kegiatan galakan pasaran dan perdagangan barangan kayu Sarawak di pasaran antarabangsa.

Jelas beliau, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah dengan jayanya mengadakan misi jualan kayu Sarawak ke negara China dari 20 hingga 26 Oktober lalu.

“Usaha tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pengusaha negara China mengenai perkembangan industri perkayuan, peluang perdagangan dan pelaburan yang wujud di Sarawak sekali gus mengeratkan perhubungan perdagangan pengusaha kedua-dua negara,” katanya.