Pengurus maut angkara pasport

0

Dua suspek berjaya ditahan dalam sekatan jalanraya di Inanam

BELURAN: Seorang pengurus ladang kelapa sawit mati akibat ditikam bertubi-tubi oleh dua pekerjanya di Ladang Ruku-Ruku Telupid, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden (DSP) Sivanathan A/L R. Velautham berkata, mangsa dikenali sebagai Leong Yun Hin , 38 , yang merupakan pengurus ladang dijumpai mati akibat ditikam beberapa kali dalam keretanya.

Dalam kejadian lebih kurang jam 5.20 petang, mangsa yang dalam perjalanan menuju ke pejabat ladang bersama dua suspek termasuk seorang pekerja wanita telah memberhentikan kenderaannya setelah menerima penggilan telefon.

“Bagaimana pun, sejurus kereta diberhentikan, dua suspek yang merupakan pekerja ladangnya yang dikenali sebagai Budi telah meletakkan pisau di leher mangsa dan seorang lagi yang dikenali sebagai Sudi meletakkan pisau di bahu sebelah kiri mangsa dan mengarahkan mangsa menyerahkan pasport mereka,” katanya.

Menurut Sivanathan, mangsa telah memberitahu kedua suspek akan menyerahkan pasport mereka apabila tiba di pejabat ladang berkenaan sambil turut dijelaskan perkara tersebut oleh pekerja wanita mangsa bahawa perkara berhubung pasport itu akan diselesaikan apabila sampai di pejabat ladang berkenaan.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek itu telah bertindak menikam mangsa secara bertubi-tubi sehingga mati,” katanya.

Menurut Sivanathan, pekerja perempuan berumur 20 tahun itu telah cuba menghalang tetapi gagal dan ia juga turut mengalami kecederaan di bahagian jari.

“Dalam usaha melarikan diri, salah seorang suspek telah menghidupkan kereta mangsa dan memandu sehingga ke satu simpang sebelum kereta milik mangsa tersekat di dalam lumpur,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek telah meminta bantuan sebuah jentolak bagi mengeluarkan kereta mangsa yang tersekat tetapi tidak berjaya.

“Sebaliknya, pemandu jentolak itu telah meminta bantuan pekerja lain sebelum dua suspek berkenaan melarikan diri membawa pekerja wanita itu apabila melihat ramai pekerja ladang datang ke arah mereka,” katanya.

“Kedua suspek telah menumpang sebuah kereta ke ladang Ruku-Ruku dengan memaksa pekerja wanita itu ke pejabat Ladang Ruku-Ruku,” katanya.

“Kedua suspek ini bersama pekerja wanita itu menaiki sebuah kereta lagi ke Ranau sebelum meninggalkan pekerja wanita itu di sana,” katanya.

Sivanathan berkata, pekerja wanita yang telah diugut oleh dua suspek berkenaan telah menerima panggilan telefon dari seorang pekerja ladang lagi sebelum menceritakan kes berkenaan.

“Kedua suspek berkenaan berjaya ditahan oleh pihak polis dalam sekatan jalanraya di Inanam,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Beluran untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, pihak polis telah berjaya menahan kedua suspek ini tidak sampai 24 jam dan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.