Kampung atas air musnah

0

129 rumah hangus, lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal di Kampung Tanjung Aru Baru

MUSNAH...Beginilah keadaan perumahan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru selepas kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin.

KOTA KINABALU:  Lebih 1,000 penduduk di Kampung Tanjung Aru Baru dekat sini hilang tempat tinggal apabila 129 buah rumah di perkampungan atas air itu musnah dalam kebakaran awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah sebelum ianya merebak dan membakar rumah-rumah lain.

Kejadian itu menyebabkan penduduk di kampung berkenaan terpaksa keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri berikutan keadaan api yang merebak dengan cepat.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi kelmarin berkata lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan terlibat dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan teruk atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Siasatan awal juga mendapati api berpunca daripada litar pintas salah sebuah rumah di kampung itu, bagaimanapun siasatan terperinci akan dibuat bagi mengetahui punca sebenar kejadian terbabit,” katanya.

Difahamkan, hanya seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian pinggangnya selepas dia terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Beberapa kenderaan milik penduduk kampung termasuk lapan buah kereta, sebuah van dan tiga buah motosikal turut musnah dalam kebakaran terbabit.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba negeri ketika dihubungi berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.25 pagi.

“Sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada balai bomba Sembulan, Lintas dan Penampang kemudiannya tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi,” kata jurucakap PGO bomba Sabah kelmarin.

Menurutnya, punca kebakaran kini masih lagi dalam siasatan manakala jumlah sebenar penduduk yang terlibat dan kerugian yang dialami juga masih lagi disiasat.