Dua pemain snuker Miri wakili S’wak ke ‘The Borneo Games IV’

0

KIBAR CABARAN: David (kanan) bergambar bersama Chin (tengah) dan Sim yang akan mewakili Sarawak ke Borneo Games IV di Samarinda Kalimantan, bulan depan.

MIRI: Dua pemain snuker dari Miri antara tiga pemain yang akan mewakili Sarawak ke kejohanan snuker dan biliard ‘The Borneo Games IV’ di Samarinda Kalimantan Timur, Indonesia dari 4 hingga 11 Disember ini.

Mereka ialah Chin Chee Siong, 19, Nickson Sim, 17, dari Miri dan Edmund Bong, 19, dari Kuching.

Pemilihan dilakukan oleh Persekutuan Sukan Snuker dan Biliard Sarawak (SBSSF) untuk berada dalam kontinjen Sarawak bagi kategori pemain bawah umur 21 tahun.

Jurulatih Sukan Pool Negeri, David Tan berharap kejayaan atlet negara iaitu Sam Chong dan Rory Thor meraih pingat emas pada kejohanan Sukan SEA Indonesia baru-baru ini akan membakar semangat mereka untuk mencapai kejayaan serupa.

Pada kejohanan Borneo Games 2009, Sarawak hanya memenangi satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Pada masa kini, kita (SBSSF) memusatkan latihan kita di Pusat Snuker Krokop dari 20 hingga 24 November di mana skuad kita menjalani latihan intensif selama lapan hingga sepuluh jam sehari,” jelasnya petang semalam.

Sehubungan itu, katanya, SBSSF mengucap tahniah kepada Persekutuan Snuker dan Biliad Malaysia (MSBF) atas kejayaan memperoleh pingat emas untuk negara pada kejohanan Sukan SEA yang lalu.

SBSSF, tambahnya, akan bekerjasama dengan MSBF untuk terus membangun dan mempromosikan sukan snuker dan biliard di negeri ini.