Lanie Armysha juara Bintang Kecil 2011 Peringkat Kebangsaan

0

TAHNIAH: Taib (dua kiri) memeluk Misya yang menangis atas kejayaannya merangkul gelaran juara Bintang Kecil 2011 Peringkat Kebangsaan, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum (kiri).

KUCHING: Lanie Armysha Mohamad Nor mewakili Zon Sarawak yang mendendangkan lagu ‘Memori Tercipta’ dinobatkan sebagai juara Bintang Kecil 2011 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, semalam.

Dia yang lebih mesra dipanggil Misya, 11, dari Kuching menampilkan keunikan dan kawalan suara yang berjaya mengalahkan lapan peserta lain.

Misya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo, Petra Jaya membawa pulang wang tunai RM8,000, komputer riba, piala dan sijil.

Manakala naib juara disandang oleh Siti Nurmasyitah Mohd Yusof, 11, mewakili Zon Utara yang mendendangkan lagu ‘Gemilang.’

Siti Nurmasyitah yang juga dianugerahkan Pakaian Terbaik membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, komputer riba, trofi dan sijil.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Syarweena Yajit yang mendendangkan lagu ‘Nuri,’ sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,000, komputer riba, trofi dan sijil.

Sementara itu, Anugerah Persembahan Terbaik pula disandang oleh Muhammad Shahrezza Abu Samah dari Kuching yang mendendang lagu artis kegemarannya Hafiz, ‘Awan Nano’ dan membawa pulang wang tunai RM1,750, komputer riba, trofi dan sijil.

Finalis yang lain, Velerice Paimin dari Sabah, Nursyazwana Edlyn (Kelantan), Dayangku Nurul Syafiqah Hakeemah Pengiran Shaiful (Brunei), Haziq Ruziani Roseley (Selangor) dan Nurathahira Masitta Mohd (Negeri Sembilan) turut diberi sijil penyertaan.

Karnival mini turut diadakan di pekarangan RTM Kuching semalam sempena pertandingan kali ke-26 di peringkat kebangsaan itu.

Penyampaian hadiah kepada semua pemenang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ditemani Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.