Mekanisme hadapi banjir dalam siap siaga

0

Persiapan yang dibuat lebih daripada biasa dan aset ditempatkan di seluruh negara: TPM

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mekanisme menghadapi banjir berada dalam keadaan siap siaga berikutan jangkaan bahawa gelombang banjir kali ini adalah lebih hebat.

“Kita sudah jangka lebih hebat dari dulu, persiapan lebih dari biasa.

“Persiapan logistik, aset kita tempatkan di seluruh negara, tempat penyimpanan stok kita sudah tambah bilangannya,” katanya dalam sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Kementerian Pelajaran di sini semalam.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan juga telah diminta untuk menyiarkan laporan terkini mengenai situasi banjir secara lebih kerap selain melancarkan portal banjir untuk rujukan.

Mengulas kejadian banjir yang kini dilaporkan telah meragut tiga nyawa, Muhyiddin yang menyifatkan ia suatu yang malang, berkata, musibah itu berlaku mungkin disebabkan kepantasan banjir yang berlaku.

“Secara umum persiapan kita telah buat. Semua pihak telah mengetahui (apa yang perlu dilakukan),” katanya.

“Cuma segera manakah bila berlaku satu kawasan (banjir), mereka bersedia untuk berpindah dan kecepatan tindakan menyelamat memindahkan mangsa banjir,”katanya lagi.

Lebih 2,000 mangsa banjir telah ditempatkan di pusat-pusat pemindahan ekoran banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Banjir kali ini telah meragut tiga nyawa di Kelantan iaitu dua adik beradik berusia 14 dan 16 tahun di Bachok, dan kanak-kanak berusia dua tahun di Pasir Mas. — Bernama