Strategi perlu popularkan latihan kemahiran: Fatimah

0

FATIMAH

Kajian dapati enam ILT alami pengambilan pelajar rendah

KUCHING: Kerajaan negeri dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan merangka strategi-strategi untuk mempopularkan lagi latihan kemahiran di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, pada peringkat awal kajian mendapati enam Institut Latihan Teknikal (ILT) awam di negeri ini mengalami masalah pengambilan pelajar yang rendah.

Enam ILT itu, katanya, ialah Insitut Latihan GIATMARA, Politeknik Kuching, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kolej Komuniti Kuching.

“Berdasarkan rekod pengambilan Jun tahun ini, misalnya, Institut Latihan GIATMARA, pengambilan pelajar hanya 380 orang sedangkan kapasiti untuk pengambil Jun ialah 400 dan kapasiti penuh bagi pengambilan Jun dan Disember ialah 1,200 orang.

“Bagi Politeknik Kuching pula hanya 620 pelajar berdaftar untuk pengambilan Jun berbanding kapasiti untuk pengambilan pertama ialah 1,900,” katanya pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan ‘Luncheon Talk’ antara pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri serta ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Beliau menambah, untuk IKBN, Miri hanya 62 pelajar mendaftar bagi sesi pengambil pelajar yang sama sedangkan kapasiti untuk pengambilan itu ialah 120 orang dan kapasiti maksimumnya ialah 700 orang.

“ILP pula menerima pelajar ramai sedikit iaitu 142 berbanding kapasiti penuh untuk pengambilan pertama (Jun) 210 orang, CIDB 105 daripada 120 orang kapasiti penuh untuk pengambilan pertama dan Kolej Komuniti Kuching hanya 87 orang daripada 120 kapasiti penuh pengambilan Jun tahun ini,” ujarnya.

Fatimah berkata, menyedari impak masalah itu ke atas pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dari segi penyediaan tenaga kerja mahir dan separa mahir, ia perlu ditangani segera.

Beliau berkata, berdasarkan kajian guna tenaga kerja, SCORE menyediakan kira-kira 60,000 peluang kerja mahir dan separuh mahir setiap lima tahun.

“Jika tidak, kita akan terus bergantung kepada tenaga buruh dari luar dan ini akan menyebabkan kerugian yang besar bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar sektor industri bekerjasama dengan ILT awam bagi mengenal pasti tenaga kerja diperlukan supaya latihan yang ditawarkan menepati keperluan industri.

Menurutnya, tanggapan latihan teknikal tidak menjamin masa depan yang lebih cerah menyebabkan ramai lepasan sekolah kurang berminat melanjutkan pengajian ILT.

“Pemikiran yang lebih cenderung kepada melanjutkan pelajaran di peringkat universiti ditambah dengan memilih mahu bekerja setelah tamat pembelajaran di peringkat sekolah menengah menyebabkan latihan teknikal kurang mendapat tempat di hati lepasan sekolah sekarang.

“ Ibu bapa juga lebih memilih anak-anak melanjutkan pengajian di peringkat universiti kerana beranggapan dengan kelayakan akademik yang dimiliki masa depan mereka lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Fatimah berkata, program tersebut merupakan kerjasama yang menjadi platform memperkenalkan wakil-wakil industri kepada program-program terbaru.

Ia juga, katanya, dapat membantu wakil-wakil agensi kerajaan memahami kehendak industri dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.