Ketua geng pecah rumah diberkas

0

BERJAYA DITEMUI: Mun memegang sebuah komputer riba yang berjaya ditemui semula. Orang ramai yang pernah mengalami kes pecah rumah baru-baru ini diminta tampil untuk mengenal pasti barangan mereka. — Gambar Jeffery Mostapha

Polis Kuching turut menemui semula pelbagai barangan curi, kata Mun

KUCHING: Polis semalam berjaya memberkas ketua sindiket pecah rumah selepas menemui semula barangan curi daripada siri pecah rumah dan rompakan di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah, ACP Mun Kock Keong berkata, barang-barang yang ditemui itu rata-rata peralatan elektrik yang dipercayai kunci utama untuk menyelesaikan empat lagi kes pecah rumah.

“Barangan tersebut ditemui pada operasi yang dijalankan di Kampung Tabuan Hulu merupakan kunci untuk menyelesaikan empat lagi kes rompakan yang belum diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sindiket itu telah lama beroperasi di kawasan Kota Sentosa, Jalan Lapangan Terbang, Tabuan Height, Victoria Garden dan Polarwood Estate.

Menurutnya, polis juga berjaya menyelesaikan kes rompakan di Kota Sentosa berhubung penemuan barang curi itu.

Berdasarkan maklumat awam, katanya polis berjaya menangkap beberapa suspek yang berkaitan dengan kes itu termasuk ketua gengnya.

Katanya, ketua tersebut yang merancang semua pergerakan jenayah juga berjaya ditangkap oleh polis.

Mun menambah, empat lagi suspek merangkumi tiga lelaki seorang wanita ditahan pada 26 November untuk membantu siasatan.

Suspek ditangkap pada 26 November ditahan reman untuk tujuh hari manakala yang ditangkap pada 28 November akan direman empat hari.

Salah seorang dari suspek, katanya, berusia 17 tahun.

Mun turut memohon orang ramai yang mengalami kes pecah rumah baru-baru ini untuk tampil ke balai polis Simpang Tiga untuk mengenal pasti barangan curi.

“Jika orang ramai mempunyai dokumen yang dapat membuktikan barangan itu milik mereka, tampil kehadapan untuk membantu kita,” katanya.

Pegawai bertanggungjawab ialah ASP Abdul Rahim Abdullah atau mana-mana pegawai penyiasat yang bertugas.

“ASP Rahim boleh dihubungi pada 013-8000777 atau anda boleh datang ke Simpang Tiga untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bertugas,” katanya.

Antara barangan yang ditemui ialah pemain DVD Panasonic, Sagasonoc, Akira dan Pioneer; komputer riba jenama Acer; beberapa jam berjenama Tissot, Rolex, Bonia, Casio dan Crocodile; anting emas; televisyen skrin rata 17 inci jenama Samsung; empat unit speaker; televisyen 17 inci jenama Sharp; kipas jenama Ichiban dan set teater rumah jenama Hoon Tac.

Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas pecah rumah dan kecurian.