WANITA TERJATUH DARI BAS MINI SUAMI MENINGGAL DUNIA

0

IBRAHIM

TAWAU: Seorang wanita berumur 26 tahun meninggal dunia setelah mengalami cedera parah di bahagian kepala akibat terjatuh dari bas mini yang dipandu oleh suaminya di Jalan Kuhara berhampiran Kompleks Sukan Tawau (KST) di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin ketika dihubungi di sini kelmarin memaklumkan bahawa insiden terbabit berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, sementara mangsa pula disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau pada sebelah petang hari yang sama.

“Sebelum kejadian itu berlaku, mangsa dan suaminya, 29, sedang dalam perjalanan pulang dari bandar menuju ke kediaman mereka di Taman Semarak. Bagaimanapun, mangsa terjatuh dari bas mini itu semasa mereka tiba di kawasan berhampiran KST,” katanya.

Ibrahim berkata, suami mangsa telahpun membuat laporan di IPD Tawau berhubung kes terbabit dan mengikut keterangan awal pemandu bas mini itu, kejadian berkenaan berlaku setelah pintu bas mininya terbuka secara tidak disengajakan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan pengadu juga, mangsa dikatakan terjatuh dari bahagian tempat duduk penumpang di sebelah pemandu dan tiada orang lain di dalam bas terbabit semasa insiden itu berlaku selain daripada pasangan suami isteri berkenaan.

Berhubung dakwaan awam yang mengatakan kononnya insiden itu berlaku akibat tindakan wanita berkenaan yang ‘terjun’ dari kenderaan terbabit pula, beliau menolak spekulasi itu dan menegaskan bahawa siasatan rapi sedang dijalankan.

“Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan mereka yang menyaksikan kejadian ini diharap dapat tampil di IPD Tawau ataupun menghubungi Cif Inspektor Lahammad di talian 089-772121 untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara berkaitan, Ibrahim menasihatkan para pengguna jalan raya khususnya pemandu dan penumpang kenderaan agar sentiasa mengutamakan langkah-langkah keselamatan semasa berada di dalam kenderaan masing-masing.

Tambahnya, perkara itu termasuklah dari segi pemeriksaan awal kenderaan dan mematuhi setiap peraturan keselamatan di atas jalan raya khususnya dari segi pemakaian tali pinggang keselamatan serta memastikan pintu kenderaan sentiasa tertutup rapat dan berkunci.

“Banyak insiden kemalangan yang berlaku, berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya. Kejadian sebegini sebenarnya mampu dielakkan jika kita sentiasa mengutamakan faktor keselamatan semasa memandu,” katanya.