Empat rumah musnah terbakar di Kg Jawa Lanut

0

MARAK… Kelihatan api yang sedang marak memusnahkan empat rumah di Kg Jawa Lanut.

TAWAU: Empat buah rumah papan satu tingkat musnah terbakar di Kg Jawa Lanut di sini kira-kira jam 2.45 petang kelmarin menyebabkan puluhan mangsa tinggal sehelai sepinggan dalam kejadian kebakaran pertama bulan terakhir tahun ini di Tawau.

Dalam insiden itu, seorang mangsa yang ditemui, Normah Semang, 51, berkata beliau hanya menyedari tentang kejadian itu setelah terdengar suara jirannya berteriak berlaku kebakaran dan terus berlari keluar sambil menarik tangan dua cucunya.

“Sebelum kejadian itu berlaku, saya sedang ‘baring-baring’ dan menonton televisyen di rumah. Tapi, jiran saya tiba-tiba berteriak ‘kebakaran! kebakaran!’,” katanya sambil menambah dia juga terdengar satu bunyi letupan.

Katanya, semua dokumen penting dan barangan lain tidak dapat diselamatkannya kerana kejadian itu berlaku dengan agak pantas namun bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya terselamat dalam musibah itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Rudy Fredzek memberitahu pihaknya berhasil mengawal kebakaran di perkampungan setinggan terbabit pada jam 3.15 petang setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 petang daripada orang awam.

“Kami tiba di lokasi kejadian selang empat minit kemudian dengan kekuatan dua jentera bomba, dua kenderaan utiliti dan 17 anggota serta pegawai,” katanya dan menambah tiada kes kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Pang Yuk Ming, yang turut hadir di lokasi kejadian meminta agar kesemua mangsa tidak mendirikan semula rumah di tanah itu yang berhampiran dengan kawasan rizab sungai.

Dalam masa sama, Pang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai berkata, beliau akan mendapatkan senarai nama mangsa dan bercadang untuk mengaturkan penempatan kepada para mangsa berkenaan dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa terlibat masih lagi dalam siasatan, dan buat masa ini juga kesemua mangsa akan ditempatkan di balai raya.