Rumah terbakar, tiga sekeluarga hilang tempat berteduh

0

MUSNAH...Beginilah keadaan rumah milik seorang penduduk di Kampung Tinambak Topokon, Tamparuli awal pagi kelmarin.

TAMPARULI:  Tiga sekeluarga hilang tempat tinggal apabila rumah dua tingkat yang didiami mereka di Kampung Tinambak Topokon dekat sini musnah terbakar awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, api dipercayai mula marak dari bahagian tingkat bawah rumah milik pesara guru, Luaran Ansapi, 65, sebelum ianya merebak ke tingkat atas.

Dipercayai sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan anaknya sedang tidur di tingkat atas rumah terbabit.

Selepas itu, isteri mangsa dikatakan terhidu sesuatu seakan-akan bau plastik terbakar lalu dia turun ke tingkat bawah untuk mendapat kepastian.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat asap tebal yang datang dari bahagian bawah ketika dia baru hendak menuruni tangga.

Isteri mangsa yang panik kemudiannya bertindak mengejutkan suami dan anaknya yang masih tidur sebelum ketiga-tiga mereka itu keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah ketika dihubungi kelmarin memberitahu pihak mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.35 pagi.

“Sepasukan bomba bersama sebuah jentera kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 4.46 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.33 pagi,” kata jurucakap PGO Bomba Sabah.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.56 pagi manakala punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.