SNAP buka pintu kepada SPDP 5

0

MIRI: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mengalu-alukan lima anggota Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang lebih dikenali sebagai SPDP 5 untuk mendaftar menjadi ahli SNAP.

Presidennya, Edwin Dundang Bugak berkata, pihaknya sentiasa mengamalkan pintu terbuka kepada kelima-lima mereka yang terdiri daripada Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Peter Nansian, Datuk Dr Tiki Lafe, Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

“Saya suka gelar mereka ini sebagai ‘Rentap 5’ dan kita sedia menerima mereka kerana SNAP adalah parti berbilang kaum juga. Malah, pintu SNAP adalah terbuka untuk semua,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui semalam.

Turut hadir semalam ialah calon pilihan raya umum negeri yang lalu bagi parti SNAP, Johari Bujang dan Lawrence Cosmos.

Menurut Edwin, SNAP tiada halangan sama sekali untuk menerima Rentap 5 sekiranya mereka berminat untuk menyertai parti terbabit.

Jelas beliau, tiada istilah ‘dendam’ dalam dunia politik memandangkan apa jua boleh berlaku.

“Hari ini kita bermusuhan tetapi esok pula kita boleh menjadi kawan se-mula,” katanya.

Beliau menambah, SNAP membuka pintunya untuk Rentap 5 selepas salah seorang daripada mereka, iaitu Entri dipecat daripada SPDP manakala yang lain dilucutkan jawatan oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, minggu lalu.

Ditanya sama ada SNAP mahu kembali ke Barisan Nasional (BN), Edwin menjawab dengan samar-samar mengatakan bahawa SNAP masih ada semangat BN.

“Banyak perkara yang boleh dipertimbangkan, namun secara teknikal, SNAP masih mempunyai semangat BN,” katanya.