Tebuan mengganas risaukan penduduk Kg Bingkor Lama

2

SARANG TEBUAN ... tebuan ‘Surun’ ini sering mengganas ketika bahang matahari panas

KENINGAU: Kehadiran sarang tebuan di satu jalan utama perkampungan Bingkor Lama di sini yang kian membesar setiap hari merisaukan penduduk kerana beberapa kejadian sudah berlaku di mana tebuan itu mengganas pelalu-lalang khususnya ketika bahang matahari panas.

Seorang penduduk, Hamdan Saripudin, 27, memberitahu tebuan itu amat berbahaya kerana dari sepsis yang berbisa di mana dalam bahasa setempat dikenali sebagai ‘Surun’.

“Kewujudan sarang tebuan di sebatang pokok rendang berhampiran sekali dengan jalan utama telah menjadi bualan yang menakutkan di kalangan penduduk berhampiran kira-kira 100 buah keluarga,” katanya.

Menurutnya, ketika suhu meningkat tebuan itu akan keluar dalam kawanan berkelompok yang besar serta berlegar-legar di udara berdekatan sarang lalu mengganas apabila ada manusia melalui tempat itu.

Tambah Hamdan, kehadiran tebuan itu mula disedari pada awal November yang bersarang kecil pada pohon rendang namun dalam masa yang singkat telah membesar dan berkemungkinan akan bertambah besar lagi.

“Setiap kali melalui tempat itu saya berasa cemas kerana beberapa hari lalu ada dua budak lelaki yang kebetulan melintasi tempat itu diserang tebuan, nasib baik dapat

menyelamatkan diri dengan memasuki kawasan semak,” kata Hamdan.

Seorang penulis karya kreatif dari kampung itu, Roger Binson A.S turut mengesahkan apa yang diberitahu Hamdan dengan menyifatkan tebuan berkenaan amat bahaya kerana terletak di tengah perkampungan dan menjadi laluan penduduk setiap kali keluar ke bandar.

“Penduduk di kampung kami berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah dapat membantu mereka membuat pemantauan dan seterusnya mengambil langkah-langkah

mengikut kaedah mereka untuk mengusir tebuan itu bersarang di tempat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penduduk amat memerlukan kepakaran pihak bomba atas kapasiti mereka sebagai penyelamat awam yang terlatih memberi bantuan kecemasan di samping memiliki peralatan lengkap termasuk mengusir haiwan berbahaya.

Penduduk tidak berani bertindak memusnahkan sarang tebuan yang besar itu disebabkan tidak terlatih melakukan tugas seperti itu di samping tidak memiliki alat-alat perlindungan diri untuk menghindar risiko, tambah Roger.