Kuota mendaki tempatan berbaki 25 peratus

0

Pengerusi Penganjur Bersama Hari Komuniti Taman Kinabalu, Johnny Gani (tengah) menyerahkan cenderakenangan kepada Patrick diperhatikan Pengurus Taman Kanan Taman Kinabalu, Maipol Spait (kanan) di Majlis Penutupan Hari Komuniti Taman Kinabalu 2011, kelmarin.

KUNDASANG: Rakyat Sabah yang berhasrat mendaki Gunung Kinabalu namun berhadapan kekangan kewangan dinasihatkan agar menggunakan pakej pendaki tempatan yang sememangnya lebih murah.

Berbanding pakej biasa berharga lebih RM300, pakej pendaki tempatan memerlukan pendaki membayar hanya RM7 untuk insurans, RM80 bagi penginapan dan makan minum serta RM30 untuk permit mendaki.

Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Patrick Jilan secara purata terdapat kira-kira 25 peratus pakej pendaki tempatan yang berbaki atau belum ditempah setiap bulan.

Katanya, penduduk tempatan terutamanya yang berada di sekitar kawasan Gunung Kinabalu menggunakan peluang dari pengujudan pakej ini untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu.

“Pihak Taman amat berharap agar komuniti tempatan menggunakan peluang yang ditawarkan ini, terutamanya dari kalangan anak-anak komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Hari Komuniti Taman Kinabalu, di sini, kelmarin.

Ketika ini, pakej untuk pendaki tempatan adalah sebanyak 25 pendaki sehari.

Dalam pada itu, beliau berkata bilangan pelancong dan pendaki yang semakin bertambah menyebabkan berlakunya permintaan tinggi terhadap khidmat malim gunung dan porter.

“Bagaimanapun, perkhidmatan malim gunung dan porter berkualiti sangat diperlukan terutamanya dari aspek penguasaan bahasa Inggeris, pematuhan tanggungjawab dan penyampaian maklumat yang tepat,” katanya.

Di samping itu, Patrick berkata penglibatan komuniti juga amat diperlukan dalam pembangunan fizikal dan aktiiti-aktiviti komuniti di sekitar Taman Kinabalu yang disifatkan memerlukan perancangan pengurusan yang lebih teliti dan sistematik.

“Pada masa sama, sekiranya Koridor Hidupan Liar atau EcoLink yang menghubungkan Taman Kinabalu-Banjaran Crocker dapat dilaksanakan kelak, inisiatif ini akan memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk mengurus kawasan hutan dengan bantuan agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Berkenaan dengan Hari Komuniti, katanya, terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan selepas penganjuran Ekspo Biodiversiti Taman Kinabalu pada tahun lalu.

Beliau turut melahirkan harapan agar penganjuran Hari Komuniti selepas ini akan dianjurkan sepenuhnya oleh komuniti sekitar Taman Kinabalu, tanpa melibatkan Taman-Taman Sabah sebagai pengerusi bersama.

Seramai 3,600 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Komuniti Taman Kinabalu kali pertama ini.

Hari Komuniti mendapat sokongan penuh daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkaitan, Global Diversity Foundation, Sutera Sanctuary Lodge (SSL), Mountain Torq, Koperasi Kakitangan Taman-Taman Sabah (Koktas) dan beberapa individu.