Ri Gindan minat kumpul barangan antik

0

TURUT BERMINAT: Charlie Dunggat, inilah warisan moyang saya.

SETIAP insan di dunia ini pastinya mempunyai minat atau hobi tersendiri yang membezakan diri kita dengan orang lain.

Tidak kira usia, jantina mahupun latar belakang keluarga dan kerjaya, minat atau hobi akan menjadi pelengkap kepada personaliti diri kita.

Begitu juga halnya dengan Ri Gindan, seorang pendidik yang mempunyai minat mengumpul dan menyimpan barang-barang antik.

Meskipun bertugas sebagai pendidik namun minat yang mendalam terhadap barangan antik tidak pernah luntur dari jiwanya. Bertugas sebagai guru di SMK Batu Kawa di Kuching, Ri yang beralamat tetap di Tuai Rumah, Tanjung Ak Nyuin, Kampung Perpat Darat, Kabong memiliki pelbagai koleksi barangan antik.

Kebanyakan daripada barangan antik yang dimilikinya diperolehi hasil peninggalan mendiang Mut Achang, bapa kepada Gindan Mut (Ri Gindan).

Semua hasil koleksi barangan antik yang diperolehi disimpan di kediamannya di Kampung Perpat Kabong dalam daerah Betong.

“Lain orang lain hobinya. Seperti orang lain, saya juga tidak terlepas daripada memiliki hobi.

“Saya minat mengumpul dan menyimpan barang-barang lama dan antik yang diwarisi daripada datuk saya pada zaman dahulu.

“Buat masa ini hampir kesemua barang antik ini berusia lebih seratus tahun,” katanya.

Antara barangan yang disimpan oleh Ri ketika ini ialah, peti besi (peti rajang sebutan Iban), peti kulit, periuk tembaga, seterika arang, tangki penyembur racun, bakul penyimpan padi (lanji rotan), hulu kapak (hulu perdah sebutan Iban), mesin jahit tangan, pisau lipat kecil dan yang menarik sekali alat penimbang emas.

Berusia 42 tahun, Ri merupakan generasi keempat yang mewarisi minat mengumpul dan menyimpan barangan antik milik datuknya.

Dalam pada itu, Ri berharap melalui cara ini dia akan dapat berkongsi artifak-artifak lama yang berharga ini kepada generasi akan datang yang diyakini tidak lagi mengenali bara-ngan lama ini. “Jika kita tidak mengumpul dan menyimpan barangan ini saya khuatir anak-anak kita dan generasi akan datang tidak akan mengenali barangan ini,” katanya. Ri juga berharap akan dapat mengetengahkan koleksi barangan antik yang disimpannya kepada masyarakat melalui program-program seperti pameran.