Sempandai, usaha SIWA memartabatkan bahasa Iban

0

USAHA MEMARTABATKAN BAHASA IBAN: Harry (tiga kanan) melakukan simbolik perasmian sambil disaksikan oleh Mauh (tiga kiri), William (dua kiri) serta yang lain.

PERSATUAN Penulis Iban Sarawak (SIWA) terus mengorak langkah baru dengan menghasilkan penerbitan majalah bahasa Iban, Sempandai dalam usaha memartabatkan bahasa Iban.

Majalah Sempandai diterbitkan dua bulan sekali kini berada di pasaran dengan paparan enam segmen utama yang pastinya memberi pengetahuan pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi, budaya dan pendidikan masyarakat Iban.

Enam segmen utama yang terkandung dalam Majalah Sempandai ialah Sada Rayat, Ruai Litericha, Pantar Ekonomi, Pelajar Sekula, Ruang Bilik dan Laman Daya Indup.

Majlis pelancaran Majalah Sempandai telah disempurnakan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin merangkap penaung SIWA, Joseph Mauh Ikeh yang berlangsung di sebuah restoran di Sibu, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi SIWA merangkap Editor SIWA Harry Usup Umbar, Naib Pengerusi SIWA, William Baja Jap, ahli-ahli SIWA, ketua kaum dan ketua masyarakat.

Menurut Harry, idea asal penerbitan majalah itu ialah cetusan ilham Mauh yang bersemangat memperjuangkan dan memartabatkan bahan bacaan bahasa Iban ke peringkat yang lebih tinggi.

“SIWA akan terus komited melahirkan lebih banyak bahan bacaan bahasa Iban dalam usaha memajukan sektor pendidikan di negeri ini.

“Masyarakat Iban kini dilihat sudah menunjukkan minat dalam membaca bahan bacaan bahasa ibunda sendiri berbanding sebelum ini,” jelas beliau.

Katanya lagi, semakin ramai penulis muda mempunyai bakat dan gaya penulisan tersendiri mengikut genre masing-masing dan bersedia untuk menerbitkan bahan bacaan seperti buku rujukan, novel dan sebagainya.

“Ini penting kerana bahasa Iban kini sudah diiktiraf oleh kerajaan yakni bahasa tersebut turut ditawarkan sebagai salah satu subjek di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya di universiti.

“Oleh itu, golongan intelektual Dayak harus terus menghasilkan bahan bacaan berkualiti sebagai sumber rujukan kepada golongan pelajar memandangkan kita kekurangan buku rujukan di pasaran,” ujarnya.

Harry turut memberitahu, dunia penulisan bahasa Iban mempunyai potensi yang tinggi seperti penulisan bahasa lain dan menyeru masyarakat Iban berusaha merebut peluang itu untuk memartabatkan bahasa Iban.

“Kita tidak pernah keseorangan dalam perjuangan memartabatkan bahasa Iban. Masyarakat pasti sokong usaha murni kita agar bahasa Iban tidak begitu mudah ditelan zaman,” tegas beliau.

Majalah Sempandai diagihkan oleh Syarikat Sungai Teras yang beralamat di Sibu Jaya dan kini berada di pasaran dengan harga RM5 di Sarawak, RM5.50 di pasaran Semenanjung Malaysia dan di negara Brunei boleh didapati dengan harga B$4.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung Majalah Sempandai boleh diajukan melalui e-mel di alamat [email protected].