Kesempitan hidup memaksa Majeni meminta sedekah

0

TAGIH SIMPATI: Majeni meminta sedekah bagi meringankan beban kewangan keluarga.

KUCHING: Kesempitan hidup memaksa dia menadah tangan menagih simpati orang ramai yang lalu lalang di kaki lima saban hari mengharapkan ada yang sudi menghulur sedikit wang.

Itu nasib atau ketentuan yang sukar diterima oleh mana-mana insan, apatah lagi di kala umur kian senja, dia layak duduk di rumah dan bermain-main dengan cucu.

Bagi Majeni Saili yang cacat penglihatan, dia pasrah menerima cabaran hidup ketika meniti usia emas.

Meskipun buta, dia yang kini berusia 60 tahun dan menetap di Tabuan Foochow dengan anak sulungnya serta suaminya, meminta sedekah kerana ingin membantu meringankan beban kewangan keluarga.

Kesempitan hidup memaksa dia meminta sedekah di kawasan Lebuh India.

“Kadang-kadang, mak cik boleh dapat sampai RM50 sehari tetapi selalunya kurang daripada itu (antara RM5 dan RM10 sehari) dan boleh dikatakan tidak menentu hasilnya,” kata ibu kepada empat orang anak ini.

Dia yang berasal dari Kota Samarahan dan kini memiliki lapan orang cucu berkata lagi, hasil daripada meminta sedekah itu akan digunakan untuk melangsaikan segala bayaran termasuk bil air, bil elektrik dan sebagainya bagi meringankan beban anaknya sekali gus membantu cucu-cucunya yang bersekolah.

“Selain itu, duit sedekah ini juga mak cik guna untuk baiki atap rumah yang selalu bocor serta masalah banjir yang sering melanda kawasan rumah terutamanya musim hujan,” katanya.

Mengenai bantuan, Majeni memberitahu pernah menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan yang teralas di bahu selama ini.

“Dahulu agak senang sebab mak cik dan keluarga ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan tetapi sekarang kami sekeluarga tidak lagi mendapat sebarang bantuan dari mana-mana menyebabkan mak cik berada di sini sekarang,” katanya.

Justeru, wanita warga emas ini amat mendambakan bantuan daripada mana-mana pihak yang sedia menghulurkan pertolongan kepada beliau untuk meringankan beban yang dihadapinya.

“Mak cik berharap ada yang sedia memberikan bantuan kepada mak cik kelak,” katanya yang kelihatan agak letih.