Remaja curi komputer riba bapa sendiri dipenjara 6 bulan

0

MIRI: Gara-gara mencuri satu unit komputer riba kepunyaan bapa sendiri, seorang remaja terpaksa meringkuk dalam penjara setelah Mahkamah Majistret pagi semalam menjatuhi hukuman enam bulan ke atasnya kerana kesalahan itu.

Hukuman i tu dijatuhkan Majistret Gerald Empaling Donald setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Mohd Affiq Drahman, 20, dari Tudan Fasa 1, Jalan Lutong-Kuala Baram di sini didapati telah mencuri satu unit komputer riba jenama Toshiba kepunyaan bapanya. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 pagi, 14 November lalu di Lot 6733 Desa Senadin Fasa 5 di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.