Warga emas nyaris rentung kebakaran Rumah Jawa Geraman

0

BERTUNGKUS LUMUS: Anggota bomba dengan bantuan penduduk berusaha memadamkan kebakaran Rumah Jawa Geraman, Kerubong, Selalang semalam.

SARIKEI: Seorang warga emas yang uzur nyaris rentung dalam kebakaran Rumah Jawa Geraman, Kerubong, Selalang dekat sini, semalam.

Tindakan pantas penduduk berjaya menyelamatkan beliau, namun hampir semua penduduk rumah panjang berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Dalam kebakaran pada kira-kira jam 11.40 pagi itu, 28 pintu daripada 30 pintu bilik rumah panjang terbabit musnah.

Seorang mangsa, Jelembai Mosidi, 30, berkata dia terkejut melihat asap hitam keluar dari salah sebuah bilik di hujung sekali rumah panjang dan terus menjerit meminta tolong daripada penduduk.

“Ketika kejadian saya baharu keluar dari bilik selepas mendengar van menjual makanan sampai. Apabila saya sampai di anjung rumah saya terus ternampak api dan asap keluar dari sebuah bilik yang terletak di hujung rumah panjang kami.

“Cuaca yang panas sedikit menyebabkan api cepat merebak ke bahagian dan bilik bersebelahan dan kebetulan pada masa itu kebanyakan penghuni rumah masih berada di kebun dan sawah mereka,” kata Jelembai.

Tuai Rumah Jawa yang ditemui wartawan berkata, tiada satu pun barangan miliknya dapat diselamatkan kerana ketika kejadian, beliau dan ahli keluarganya berada di tempat lain.

“Saya berada di Sarikei pada masa kejadian atas urusan rasmi dan menantu saya memberitahu bahawa dia keluar rumah untuk ke Sarikei pada jam 11.30 pagi dan kebakaran berlaku selepas kami sekeluarga keluar.

“Semua barangan berharga seperti sijil lahir, emas, geran tanah dan dokumen yang lain musnah dalam kebakaran dan hanya pakaian yang digunakan oleh saya ini sahaja yang tinggal,” ujar Jawa.

Sementara itu, Pegawai Daerah Sarikei, Abang Mohd Porkan Abang Budiman yang bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan berkata, Pejabat Daerah akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan untuk mangsa kebakaran.

“Pihak kita akan berhubung dengan JKM untuk menyalurkan bantuan seperti makanan dan keperluan lain kepada mangsa.

“Semua penghuni rumah Panjang yang bilik mereka musnah dalam kebakaran ini akan disenaraikan ke dalam Program Bina Rumah (PBR) untuk tahun 2012 dan melalui program ini, rumah panjang akan dibina semula bagi memastikan penduduk dapat tinggal di rumah baharu.

“Kita menasihati semua penghuni rumah panjang yang kehilangan barangan penting semasa kebakaran untuk membuat laporan polis terlebih dahulu bagi memastikan proses membuat dokumen yang baharu tiada manghadapi sebarang masalah,” kata Abang Porkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Ranger Moos semasa ditemui di lokasi berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam12.10 tengah hari dan sampai di lokasi pada jam 12.40.