Kumpulan Wong boikot TDC

0

WONG SOON KOH

Tuntut CWC perbetulkan dahulu salah laku dalam pemilihan cawangan

KUCHING: Kumpulan Timbalan Setiausaha Agung SUPP, Dato Sri Wong Soon Koh semalam mengumumkan keputusan akan memboikot Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti tersebut yang diadakan pada hujung minggu ini.

Tindakan itu diambil berikutan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti tidak mempedulikan aduan ahli-ahli yang mendakwa wujud penyelewengan dan kejanggalan dalam proses pemilihan beberapa cawangan pada November.

Ahli-ahli daripada beberapa cawangan berkenaan juga dikatakan sebelum ini pernah mengemukakan aduan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung salah laku itu.

“Kami menyeru semua penyokong dan ahli-ahli SUPP yang berfikiran adil agar tidak menyertai TDC melainkan dan sehingga salah laku dalam proses pemilihan cawangan diperbetulkan oleh CWC,” kata satu kenyataan yang dihantar menerusi faksimili ke pejabat-pejabat media di sini.

Kenyataan itu merupakan keputusan yang diambil secara muafakat dan merangkumi Wong serta para pemimpin SUPP yang menyokong beliau sebagai Presiden baharu.

Mereka ialah Datuk Richard Riot Jaem, Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong Ngipa. Mereka merupakan wakil rakyat.

Kumpulan tersebut turut meminta agar TDC ditangguhkan; CWC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aduan berkenaan kejanggalan pemilihan peringkat cawangan; mengadakan pemilihan baharu di cawangan-cawangan terbabit; dan TDC hanya diadakan selepas kejanggalan pemilihan diperbetulkan.

Kumpulan Wong berkata, keputusan itu turut disokong oleh beberapa cawangan SUPP.

“Kami tidak akan memberi legitimasi terhadap TDC berdasarkan aduan yang dilakukan oleh kebanyakan ahli kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,” kata kenyataan itu.

Wong sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden dan pada masa yang sama, Setiausaha Kerja SUPP Datuk Seri Peter Chin turut ingin bertanding.

Wong merupakan Menteri Kewangan Kedua dalam kabinet negeri dan juga ADUN Bawang Assan, manakala Peter Chin Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kabinet persekutuan merangkap Ahli Parlimen Miri.

Jawatan presiden SUPP dijadual akan dipertandingkan pada Ahad ini berikutan pengunduran Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Sebelum ini, selain mendapatkan nasihat daripada ROS, kumpulan Wong juga pernah memohon Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP agar berbincang bagi menyelesaikan kepincangan pemilihan peringkat cawangan.

“Presiden parti enggan mengadakan perbincangan di peringkat CWC,” kata kumpulan tersebut yang bimbang ROS akan mengambil tindakan lebih tegas jika TDC diteruskan.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan juga tidak akan menerima tawaran menjawat apa-apa jawatan dalam parti.

“Kita mengisytiharkan tidak akan menerima tawaran untuk memegang sebarang jawatan dalam parti kerana wujud laporan mengatakan kejanggalan di peringkat cawangan ketika proses pemilihan barisan pemimpin cawangan dan perwakilan (TDC),” katanya.